BERITA UTAMA
Man United ikat Yoro lima tahun

Manchester United ikat Yoro lima tahun

MANCHESTER – Manchester United menandatangani bintang Perancis berusia 18 tahun, Leny Yoro pada harga 52 juta pound (RM314.26 juta) dari Lille.

Tawaran United untuk pemain pertahanan muda itu diterima minggu lalu, tetapi timbul kerisauan terhadap kecenderungan Yoro untuk menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun United memastikan tawaran kontrak lima tahun dengan pilihan lanjutan setahun dimeterai dan sedang menyempurnakan syarat-syarat peribadi.

Yoro, yang membuat 41 penampilan untuk Lille musim lalu, turut menarik minat Liverpool dan Paris Saint-Germain.

Bek tengah itu terbang ke Manchester pada Rabu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan selepas didesak Lille susulan juara Liga Juara-Juara Eropah, Real Madrid hanya mahukannya sebagai ejen bebas.

Dia turut berada dalam senarai teratas Liverpool, tetapi The Reds menganggap Yoro hanya mahu berpindah ke Sepanyol.

Madrid dipercayai hanya akan menandatangani pemain 18 tahun itu pada musim panas depan selepas Yoro menjadi ejen bebas, sekali gus memaksa Lille memastikan perjanjian dengan United disempurnakan.

Yoro menandatangani kontrak bersama Man United semalam yang akan mengekalkannya di Old Trafford sehingga tahun 2029, bergantung kepada pendaftaran pemain berkenaan.

“Menyertai kelab seperti Manchester United begitu awal dalam karier saya adalah satu penghormatan.

“Sejak perbincangan pertama dengan kelab, mereka menyatakan rancangan bagaimana saya mampu berkembang di Manchester dalam projek menarik ini.

“Saya tahu sejarah pemain-pemain muda di Manchester United dan merasakan ia mampu menjadi tempat terbaik bagi saya mencapai potensi tertinggi dan cita-cita saya, bersama rakan sepasukan. Saya tidak sabar untuk memulakannya,” kata Yoro.

Yoro adalah pemain kedua ditandatangani United pada musim panas ini selepas penyerang Bologna, Joshua Zirkzee. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *