Turkiye hantar pulang Republik Czech

Turkiye hantar pulang Republik Czech

HAMBURG – Turkiye berjaya mengatasi cabaran sengit Republik Czech yang bermain dengan 10 pemain menerusi jaringan gol Hakan Calhanoglu dan Cenk Tosun bagi melakar kemenangan 2-1.

Kemenangan itu membawa pasukan melangkah ke pusingan kalah mati Euro 2024 dan dijadual bertemu Austria, Rabu nanti.

Republik Czech yang melangkah mara ke suku akhir Kejohanan Eropah edisi lalu, nyata terdesak mencari kemenangan bagi memburu tempat ke pusingan 16 terbaik namun layangan kad kuning kedua ke atas Antonin Barak ‘merosakkan’ percaturan mereka di bahagian serangan.

Baki perlawanan berlangsung dengan penuh tegang, manakala pemain Republik Czech, Tomas Chory turut dilayangkan kad merah sebelum wisel penamat dibunyikan.

Selain daripada dua kad merah, pengadil turut melayangkan 16 kad kuning sekali gus mencipta rekod disiplin Euro yang baharu.

Kemenangan itu melenyapkan memori hitam Turkiye pada edisi Euro 2020 yang menyaksikan mereka tersingkir di pusingan awal selepas dibolosi lapan gol dalam tiga kekalahan.

“Kami semua bermain dengan sangat baik secara bersama,” kata pertahanan, Mert Muldur. “Kami berdepan masa yang sukar menentang pasukan sebegini pada masa lalu… saya fikir kami sudah meningkatkan keupayaan diri.”

Selepas dua kemenangan dalam tiga perlawanan, Turkiye menamatkan peringkat Kumpulan F di tangga kedua di belakang Portugal yang hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

“Ketika kami bercakap dengan rakan-rakan sebelum kem, sasaran kami adalah untuk mara dari peringkat kumpulan. Kami mengekalkan janji dan berjaya mara.

“Sekarang, kami perlu mengharunginya satu demi satu,” kata pemain sayap Turkiye, Baris Alper Yilmaz. “Kami sangat gembira.”

Skuad Republik Czech pula menamatkan saingan kumpulan di tangga tercorot dengan satu mata.

“Ia mengecewakan kerana kami semua mahu melangkah mara,” kata kapten pasukan Soucek yang meledak gol pada minit ke-66.

“Kami gembira apabila dapat menyamakan kedudukan,” katanya. “Semua pemain sudah melakukan yang terbaik. Moral sangat tinggi. Satu pengakhiran yang menyedihkan… tetapi inilah bola sepak.” – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *