Georgia tak gentar jumpa Sepanyol

Georgia tak gentar jumpa Sepanyol

GELSENKIRCHEN, Jerman – Jurulatih Georgia, Willy Sagnol berkata pasukannya akan berjuang habis-habisan apabila bertemu Sepanyol selepas mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2024.

Georgia berdepan ujian getir menentang Sepanyol yang kini berada pada tahap prestasi terbaik selepas menewaskan Portugal 2-0 di Gelsenkirchen dan mara daripada Kumpulan F dalam penampilan pertama mereka di kejohanan utama itu.

“Kami tidak memikirkan sebelum perlawanan jika kami menang, mungkin kami akan bermain menentang pasukan ini atau pasukan itu kerana kami tidak berfikir seperti itu, kami hanya fokus dalam setiap perlawanan,” kata Sagnol kepada pemberita.

“Sepanyol akan menjadi lawan kami yang seterusnya, mereka adalah pasukan terbaik dalam pusingan pertama. Jadi, ia satu lagi cabaran besar untuk kami.

“Apa yang pasti, kami akan berjuang hingga minit terakhir seperti yang kami lakukan sejak awal kejohanan.”

Sagnol menambah,dia masih tidak percaya pasukan kerdil yang dibimbingnya mampu menewaskan juara 2016, Portugal dan mara ke pusingan kalah mati.

“Masih sukar untuk mempercayai apa yang sudah kami lakukan. Sukar untuk saya menggambarkannya dengan kata-kata.

“Saya sangat bangga dengan pemain selepas apa yang mereka tunjukkan mengenai Georgia hari ini… Saya berasa sangat bangga menjadi jurulatih mereka,” kata Sagnol.

Georgia dijadual bertemu Sepanyol yang dilabel sebagai salah satu pasukan pilihan untuk muncul juaa selepas mengungguli saingan Kumpulan B dengan sembilan mata di Cologne, awal pagi Isnin ini. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *