BERITA UTAMA
Tiga lelaki dikehendaki polis ditahan selepas kereta curi dinaiki terbabit kemalangan

Tiga lelaki dikehendaki polis ditahan selepas kereta curi dinaiki terbabit kemalangan

MARANG – Kemalangan membabitkan Honda City dinaiki tiga lelaki di sini, semalam membongkar rahsia ia kenderaan curi, selain pemandu dan penumpangnya individu dikehendaki polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan kereta jenis Honda City, berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Alor Tuman, di sini dan pemeriksaan ke atas Honda City itu mendapati nombor pendaftarannya adalah palsu.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang berusia 24 tahun dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan secara mengejut.

“Akibat terlalu dekat pemandu pacuan empat roda tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan sebelah kiri kereta Honda City terbabit,” katanya dipetik Berita Harian.

Menurutnya, dalam kejadian itu pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda City berusia 27 tahun, penumpang hadapan berusia 28 tahun, dan penumpang belakang berusia 33 tahun mengalami kecederaan ringan.

Katanya, ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut peraturan 3(2) LN 166/59.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati pemandu dan penumpang kereta Honda City itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ketiga-tiga mereka individu yang dikehendaki polis.

“Berdasarkan rekod, pemandu kereta Honda City berkenaan mempunyai lima kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan sembilan rekod berkaitan jenayah.

“Penumpang hadapan kereta itu pula mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan dua kes membabitkan kesalahan jenayah.

“Penumpang belakang juga mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah dan empat rekod membabitkan kesalahan jenayah,” katanya.

Mohd Razman berkata, semakan ke atas kereta Honda City itu mendapati ia dilaporkan hilang di Bukit Raja Klang, Selangor.

Menurutnya, kesemua suspek sudah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, untuk tindakan lanjut. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *