PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis berhubung sebuah podcast yang didakwa menyentuh isu kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, khususnya berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Laporan itu dibuat pada jam 11.21 pagi semalam, dengan mendakwa kandungan podcast berkenaan mempunyai unsur yang disifatkannya sebagai biadab, menghina, menghasut serta mempertikaikan Institusi Raja Melayu.
Menurut laporan itu, Tei mendakwa beliau menemui sebuah video podcast berdurasi 50 minit 28 saat yang disiarkan menerusi akaun Facebook Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Podcast itu turut menampilkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang membincangkan isu berkaitan pengampunan Najib serta persoalan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan.
Tei mendakwa kandungan podcast itu, yang disampaikan dalam bahasa Cina, mempunyai unsur boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap Institusi Raja Melayu, khususnya berkaitan kuasa prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan.
Dalam laporan itu, beliau turut mendakwa perbincangan berkenaan menyentuh pendirian Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh terhadap pembebasan atau pengampunan Najib, termasuk isu kemungkinan menjalani hukuman di rumah.
Tei turut memetik kandungan podcast yang menurutnya mempertikaikan persoalan sama ada keputusan berkaitan pengampunan dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong atau mengambil kira nasihat kerajaan.
Beliau mendakwa, kedua-dua individu terbabit turut mencadangkan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui pendirian setiap pihak terlibat dalam proses membuat keputusan tersebut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Antara perkara dibangkitkan dalam podcast itu, menurut laporan Tei, ialah persoalan dari sudut perlembagaan dan undang-undang sama ada kuasa pengampunan berada pada Yang di-Pertuan Agong atau sama ada baginda terikat dengan nasihat serta pendirian kerajaan.
Tei turut mendakwa, perbincangan berkenaan menyentuh pandangan kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan, namun sebarang perubahan terhadap hukuman perlu dilakukan mengikut undang-undang dan tidak boleh dibuat sesuka hati.
Selain itu, beliau mendakwa kedua-dua mereka menyatakan pendirian DAP yang menentang pembebasan Najib, termasuk sebarang bentuk pengampunan, layanan istimewa atau keistimewaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Menurut laporan polis tersebut, Tei turut memetik kenyataan bantahan terhadap keputusan berkenaan perlu disuarakan dengan lebih lantang, termasuk menggunakan tekanan terhadap Perdana Menteri supaya mengambil tindakan yang dianggap wajar.
Beliau juga mendakwa, podcast berkenaan menyentuh peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, dengan cadangan supaya selepas berundur daripada Kabinet, Loke terus memberikan tekanan kepada Perdana Menteri berhubung isu berkenaan.
Antara tuntutan disebut, menurut laporan Tei ialah supaya kerajaan mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada rakyat bagi menjelaskan pihak yang membuat keputusan berkaitan pembebasan atau tahanan rumah Najib.
Tei dalam laporan polis itu juga mendakwa kenyataan berkenaan adalah satu bentuk cabaran dan pertikaian terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong serta menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima.
Beliau turut mendakwa perbuatan tersebut mempunyai unsur kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan serta meminta polis menjalankan siasatan berhubung kandungan podcast berkenaan.
Sehubungan itu, Tei menggesa polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kesalahan berdasarkan hasil siasatan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
