Dari Meja Editorial
APABILA dua doktor memberikan diagnosis yang berbeza terhadap seorang pesakit, orang ramai biasanya akan bertanya siapa lebih berpengalaman, siapa mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan dan apakah bukti perubatan digunakan untuk membuat kesimpulan?
Tetapi, apabila dua peguam memberikan tafsiran bertentangan mengenai satu persoalan undang-undang, rakyat biasa sering berdepan keadaan yang jauh lebih mengelirukan kerana kedua-duanya bercakap dengan bahasa undang-undang, kedua-duanya mempunyai kelayakan profesional dan kedua-duanya kelihatan yakin dengan hujah masing-masing.
Persoalan inilah semakin terasa dalam beberapa isu besar yang berlaku kebelakangan ini, khususnya kemelut kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kedua-dua perkara tersebut, masyarakat mendengar pengamal undang-undang memberikan pandangan berbeza, malah ada mengatakan sesuatu tindakan itu sah di sisi undang-undang, sementara yang lain pula mengatakan tindakan sama tidak mempunyai asas undang-undang.
Bagi rakyat yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang, keadaan ini menimbulkan satu persoalan sangat mudah, tetapi sebenarnya besar. Kalau seorang peguam mengatakan “sah” dan seorang lagi mengatakan “tidak sah”, siapakah yang sebenarnya betul?
Jawapannya ialah seorang peguam yang memberikan pendapat undang-undang tidak semestinya sedang memberikan keputusan undang-undang.
Perbezaan ini penting kerana keputusan yang mempunyai kuasa mengikat biasanya datang daripada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa terhadap sesuatu pertikaian, sedangkan pandangan peguam, walaupun berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kajian undang-undang, tetap merupakan pendapat profesional, melainkan dan sehingga persoalan itu diputuskan oleh institusi yang berkuasa membuat keputusan muktamad.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Peguam berhujah, mentafsir undang-undang, mengemukakan fakta dan prinsip yang menyokong kedudukan anak guam atau pandangan profesionalnya, manakala hakim menilai hujah daripada pihak-pihak yang bertentangan, meneliti undang-undang dan fakta dikemukakan sebelum membuat keputusan.
Sebab itu dalam sistem adversarial, memang boleh berlaku dua peguam yang sama-sama berkelayakan berhujah untuk dua tafsiran yang bertentangan; tugas sistem kehakimanlah untuk menentukan tafsiran diterima dalam sesuatu kes.
Kemusykilan rakyat menjadi lebih besar apabila isu dibincangkan bukan persoalan undang-undang biasa, tetapi menyentuh Perlembagaan, institusi Raja, kuasa kerajaan negeri atau kuasa pengampunan Diraja.
Dalam keadaan seperti ini, satu perkataan dalam peruntukan Perlembagaan, satu prosedur yang tidak dipatuhi atau satu persoalan mengenai bidang kuasa boleh mengubah keseluruhan kedudukan sesuatu kes.
Jabatan Peguam Negara pada 17 September menyatakan proklamasi bertarikh 19 April mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah, kerana menurut AGC, kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak dipatuhi.
AGC turut menyatakan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar, manakala kesahan dan kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
Namun, pihak yang mempertahankan tindakan Undang Yang Empat mengambil pendirian berbeza dan mempertikaikan tafsiran tersebut.
Dewan Keadilan dan Undang pula menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar yang sah, manakala pihak mempertikaikan pendirian AGC berhujah perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks kuasa dan kedudukan institusi adat Negeri Sembilan.
Maka, rakyat mendengar dua bahasa undang-undang yang bertentangan. Satu pihak berkata tidak sah, pihak lain berkata sah. Satu pihak merujuk Perkara 10, satu pihak lagi menekankan bidang kuasa institusi Undang dan adat, sementara pada masa sama perkara tersebut juga berada dalam proses kehakiman dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.
Dalam keadaan seperti ini, adalah tidak tepat jika rakyat terus membuat kesimpulan salah seorang peguam itu “tidak tahu undang-undang” hanya kerana pendapatnya berbeza dengan peguam lain.
Yang perlu dilihat ialah apakah peruntukan undang-undang yang dirujuk, apakah fakta yang diterima dan dipertikaikan, apakah bidang kuasa institusi berkenaan dan akhirnya siapa mempunyai kuasa untuk memberikan keputusan yang mengikat.
Begitu juga dengan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak. Selepas pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga Ogos 2028, timbul persoalan mengenai kedudukan undang-undang tahanan rumah itu sendiri.
Seorang bekas pengerusi Majlis Peguam, Nizam Bashir menjelaskan, tahanan rumah masih merupakan satu bentuk pemenjaraan dan tertakluk kepada peraturan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, manakala peguam Andrew Khoo pula mempersoalkan hakikat Malaysia pada ketika itu belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal tahanan rumah.
Di sinilah rakyat perlu memahami satu perkara yang sering terlepas pandang, dua peguam boleh membaca fakta dan undang-undang yang sama, tetapi memberi penekanan kepada persoalan yang berbeza.
Seorang mungkin bermula dengan kuasa pengampunan Diraja dan bertanya sejauh mana kuasa tersebut membolehkan syarat tertentu dikenakan, manakala seorang lagi mungkin bermula dengan persoalan sama ada terdapat undang-undang yang menyediakan mekanisme pelaksanaan tahanan rumah.
Kedua-duanya mungkin mempunyai hujah yang perlu didengar. Tetapi, mendengar hujah bukan bermaksud rakyat perlu menganggap kedua-duanya mempunyai kedudukan sama dari sudut kuasa undang-undang.
Pendapat seorang peguam tidak sama dengan penghakiman mahkamah, pandangan seorang akademik tidak sama dengan keputusan mahkamah, kenyataan politik pula tidak sama dengan tafsiran kehakiman, manakala kenyataan media sesuatu institusi juga perlu dibezakan daripada keputusan yang mempunyai kesan undang-undang.
Jadi, di sinilah peranan media menjadi amat penting. Apabila media menemu bual seorang peguam, tidak memadai sekadar menulis “peguam berkata tindakan itu sah” atau “peguam berkata tindakan itu tidak sah”.
Pembaca perlu diberitahu mengapa peguam itu mengambil pendirian tersebut, peruntukan mana yang dirujuk, apakah persoalan yang masih dipertikaikan dan sama ada pandangan tersebut telah diputuskan atau disahkan oleh mahkamah.
Jika tidak, media akhirnya hanya memindahkan kekeliruan daripada bilik mahkamah kepada ruang awam.
Lebih membimbangkan apabila istilah “pakar undang-undang” digunakan seolah pandangan seseorang itu secara automatik menjadi undang-undang.
Seorang peguam mungkin sangat berpengalaman dalam litigasi jenayah, tetapi tidak semestinya mempunyai kepakaran mendalam dalam undang-undang perlembagaan atau adat Negeri Sembilan.
Seorang lagi mungkin mempunyai pengalaman luas dalam perlembagaan, tetapi tidak mengendalikan bidang undang-undang tertentu yang sedang dipersoalkan.
Sebab itu soalan “dia peguam atau tidak?” sebenarnya belum cukup untuk menentukan berat sesuatu pandangan. Persoalan lebih tepat ialah apakah kelayakannya, apakah bidang kepakarannya, apakah autoriti yang dirujuk dan apakah status persoalan tersebut di mahkamah?
Di sini timbul pula satu lagi salah faham masyarakat mengenai profesion guaman. Adakah seseorang peguam belajar satu silibus undang-undang sahaja sebelum menjadi peguam?
Jawapannya: tidak.
Untuk menjadi peguam di Malaysia, seseorang bukan sekadar mengambil satu subjek bernama “undang-undang”, lulus peperiksaan dan terus boleh membuka firma guaman.
Laluan profesion guaman mempunyai beberapa peringkat dan syarat. Majlis Peguam menjelaskan seseorang tidak menjadi peguam secara automatik hanya kerana memperoleh ijazah undang-undang.
Seseorang perlu memenuhi syarat sebagai “qualified person”, yang bergantung pada kelayakan akademik yang diiktiraf, peperiksaan profesional seperti Certificate in Legal Practice (CLP) jika berkenaan, serta latihan praktikal sembilan bulan yang dikenali sebagai pupillage atau chambering sebelum diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.
Undang-undang terlalu luas untuk dikuasai secara mutlak oleh seorang individu. Lebih lagi undang-undang sentiasa berkembang melalui pindaan statut, keputusan mahkamah, perkembangan prinsip common law, tafsiran Perlembagaan dan perubahan keadaan masyarakat.
Sebab itu, seorang peguam yang benar-benar berhati-hati biasanya tidak akan sekadar berkata “ini undang-undangnya” tanpa melihat fakta khusus yang sedang dihadapi.
Di sinilah masyarakat perlu membezakan tiga perkara, undang-undang yang tertulis, tafsiran terhadap undang-undang dan keputusan mahkamah mengenai undang-undang tersebut. Ketiga-tiganya berkaitan, tetapi bukan perkara yang sama.
Jadi, adakah perbezaan pendapat dalam kalangan peguam menunjukkan profesion guaman tidak profesional?
Tidak semestinya.
Malah, dalam sistem kehakiman yang berasaskan hujah, perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada proses mencari jawapan undang-undang. Yang menjadi masalah bukan kewujudan pandangan berbeza, tetapi apabila pendapat tersebut dipersembahkan kepada masyarakat seolah ia sudah menjadi keputusan muktamad, sedangkan perkara berkenaan masih dipertikaikan atau belum diputuskan oleh mahkamah.
Begitu juga media tidak sepatutnya menjadikan perbezaan pandangan peguam sebagai pertandingan “peguam A lawan peguam B”. Yang lebih penting ialah membantu pembaca memahami asas perbezaan tersebut.
Jika seorang berkata sesuatu itu sah, media perlu bertanya: sah berdasarkan peruntukan apa? Jika seorang lagi berkata tidak sah, apakah peruntukan yang digunakan untuk menyangkalnya?
Itulah cara masyarakat boleh memahami undang-undang tanpa perlu mempunyai ijazah undang-undang.
Dalam isu Negeri Sembilan, misalnya, rakyat perlu tahu pertikaian bukan sekadar soal siapa menyokong Tuanku Muhriz atau siapa menyokong Undang Yang Empat. Ia menyentuh persoalan bidang kuasa, kehendak Perkara 10, kedudukan adat, status Undang yang menandatangani proklamasi, bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang serta kesan proses mahkamah yang sedang berjalan.
Dalam isu Najib pula, persoalannya bukan sekadar “boleh atau tidak tahanan rumah”. Ia melibatkan persoalan kuasa pengampunan, bentuk dan syarat pengampunan, mekanisme pelaksanaan hukuman, undang-undang sedia ada berkaitan tahanan rumah serta persoalan bagaimana sesuatu perintah atau keputusan boleh dilaksanakan dalam kerangka undang-undang negara.
Maka, rakyat tidak seharusnya dipaksa memilih antara “peguam A betul” atau “peguam B betul” hanya berdasarkan siapa yang bercakap lebih yakin di televisyen atau siapa yang mempunyai gelaran lebih panjang. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
