Veteran ‘Disisihkan’ Kembali ke PKR: Isyarat Pendamaian atau Strategi Mengukuh Parti?

Dari Meja Editorial

SELEPAS bertahun menjadi sebahagian daripada episod perpecahan, perselisihan dan penghijrahan politik yang pernah menggoncang Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga nama veteran iaitu Tian Chua, Dr. Xavier Jayakumar dan Datuk Kamarudin Jaffar kini kembali menghampiri parti yang pernah menjadi medan perjuangan mereka sebelum ini.

Kepulangan mereka berlaku dalam suasana yang menarik perhatian kerana ia hadir selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengajak golongan veteran serta bekas pemimpin yang berasa terpinggir kembali ke pangkuan parti.

Dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional PKR di Melaka, Anwar bukan sahaja menghulurkan tangan kepada “otai-otai” parti, malah turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan menyebabkan sebahagian bekas rakan seperjuangannya berasa dipinggirkan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Otai-otai… sila kembali,” demikian antara mesej Anwar yang memberi gambaran parti itu kini mahu membuka semula ruang kepada tokoh-tokoh lama yang pernah berada di barisan hadapan perjuangan Reformasi.

Seruan itu tidak mengambil masa lama untuk menunjukkan kesan. Tian Chua, antara pemimpin pengasas PKR dan bekas Naib Presiden parti menyambut baik seruan berkenaan. Beliau hadir pada kongres PKR atas jemputan Anwar dan menyatakan kesediaannya untuk kembali kepada parti.

Namun, Tian Chua menyerahkan keputusan mengenai pemulihan keahliannya kepada Anwar, termasuk permintaan supaya nombor keahlian lamanya dikekalkan. Beliau sebelum ini dipecat daripada PKR selepas bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang menyaksikan calon PKR, P. Prabakaran mempertahankan kerusi itu.

Beberapa hari kemudian, Xavier pula mengesahkan secara ringkas, beliau kembali menyertai PKR. Bekas Naib Presiden PKR itu tinggalkan parti pada 2021 ketika PKR berada dalam pembangkang, sebelum menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada 2022, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Kamarudin pula muncul sebagai nama ketiga dalam episod “kepulangan” veteran berkenaan. Bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyertai semula PKR dan berbincang dengan beberapa rakan dalam parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pada ketika ini PKR merupakan satu-satunya parti yang dipertimbangkannya untuk kembali.

Kamarudin mempunyai sejarah panjang dalam politik pembangkang dan Reformasi. Beliau menyertai PKR daripada PAS pada 2015 sebelum menjadi antara 11 Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Kumpulan berkenaan kemudiannya menyertai Bersatu, dalam episod yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertama.

Kepulangan tiga tokoh ini menjadi signifikan bukan semata-mata kerana mereka pernah memegang jawatan atau mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat. Mereka mewakili tiga fragmen berbeza daripada sejarah panjang PKR.

Tian Chua ialah wajah awal gerakan Reformasi dan antara tokoh yang membina parti ketika perjuangan itu masih berada jauh daripada kuasa kerajaan. Xavier pula pernah berada di barisan kepimpinan tertinggi PKR dan menjadi sebahagian daripada generasi pemimpin yang membawa parti itu daripada gerakan pembangkang kepada kerajaan selepas kemenangan bersejarah pada 2018.

Kamarudin pula membawa sejarah politik lebih panjang, termasuk pengalaman sebagai pemimpin PAS sebelum berpindah ke PKR dan akhirnya meninggalkan parti dalam gelombang politik pasca-Langkah Sheraton.

Kepulangan mereka, justeru, boleh dibaca sebagai usaha mengumpulkan semula serpihan lama sebuah gerakan yang selama bertahun-tahun kehilangan ramai tokoh utamanya akibat konflik dalaman.

PKR bukan lagi parti yang sama seperti era awal Reformasi. Ia kini menjadi parti teras kerajaan Persekutuan dan Anwar sendiri merupakan Perdana Menteri. Namun, kedudukan itu hadir bersama cabaran yang berbeza iaitu keperluan mempertahankan sokongan akar umbi, memperkukuh jentera pilihan raya dan mengurus ketegangan dalaman yang semakin terbuka.

Tian Chua sendiri menyatakan, walaupun wujud perselisihan faham pada masa lalu, PKR kekal sebagai kuasa politik penting dalam sebuah Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau turut berpandangan parti perlu memperkukuh semula gerakan Reformasi dan jentera akar umbinya selepas beberapa keputusan pilihan raya negeri yang kurang memberangsangkan.

Dalam konteks itu, veteran bukan sekadar bekas pemimpin. Mereka ialah pemegang memori politik. Mereka tahu bagaimana parti itu dibina ketika belum mempunyai kuasa, bagaimana kempen Reformasi digerakkan, bagaimana anggota akar umbi bekerja tanpa kedudukan kerajaan dan bagaimana PKR berkembang daripada sebuah gerakan yang dianggap marginal kepada salah satu parti terbesar dalam politik Malaysia.

Pengalaman seperti itu sukar digantikan dengan sekadar struktur organisasi atau strategi komunikasi moden. Namun, kepulangan bukan bererti kembali kepada kedudukan lama.

Persoalan lebih menarik sekarang ialah, apakah peranan yang akan diberikan kepada mereka? Walaupun, kepulangan veteran tidak semestinya bermakna mereka akan kembali memegang jawatan.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini mencadangkan supaya anggota yang kembali diberikan tempoh “bertenang” sebelum dipertimbangkan untuk jawatan parti, bagi mengelakkan konflik lama berulang.

Pendekatan itu menunjukkan PKR mungkin mahu melakukan pendamaian tanpa mengorbankan kestabilan dalaman. Dengan kata lain, pintu boleh dibuka, tetapi struktur kepimpinan tidak semestinya disusun semula untuk menempatkan semua yang pulang. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *