Oleh: Noorumaina Mohamed Yunus
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri dalam bidang pendigitalan seni bina menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan IME Technology Sdn. Bhd yang berlangsung pada 11 Ogos 2026 baru-baru ini.
Kerjasama itu melibatkan kumpulan penyelidik Sustainable Environment Technology (SET), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) USIM yang diketuai Prof. Madya Ar. IDr. Dr. Elina Mohd Husini bersama IME Technology Sdn. Bhd. yang diketuai Teoh Jia Yuan.
Pemeteraian MoA berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama terdahulu antara kedua-dua pihak dalam bidang Building Information Modelling (BIM) serta pensijilan antarabangsa berkaitan industri pembinaan.
Menurut Prof. Madya Ar. IDr. Dr. Elina, kerjasama tersebut membuka ruang lebih luas dalam pelaksanaan latihan BIM kepada pelajar dan pensyarah USIM, selain berpotensi diperluas kepada pemain industri serta agensi kerajaan dan swasta.

“Saya sangat teruja untuk memulakan kerjasama dengan IME Technology Sdn. Bhd. dalam pelaksanaan latihan BIM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah USIM, malah boleh diperluas kepada industri serta agensi kerajaan dan swasta,” katanya.
Beliau berkata, IME Technology dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan kepakaran syarikat itu dalam menyediakan penyelesaian reka bentuk digital serta kedudukannya sebagai pengedar sah utama Graphisoft.
“IME Technology mempunyai kepakaran dalam penyelesaian reka bentuk serta menawarkan perkhidmatan berkaitan perisian CAD, CAE, Archicad dan teknologi pengimbasan tiga dimensi (3D),” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh peranan USIM sebagai rakan strategik industri dalam pembangunan kemahiran digital, khususnya menerusi latihan dan pembangunan kompetensi BIM yang semakin penting dalam sektor seni bina dan pembinaan.
Selain meningkatkan kemahiran pelajar dan tenaga akademik, kerjasama itu turut membuka peluang kepada USIM untuk memperluas jaringan profesional, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi bersama industri.
Prof. Madya Ar. IDr. Dr. Elina berkata, jalinan berkenaan diharap dapat meningkatkan kepakaran serta keterlihatan USIM dalam bidang teknologi digital, selain menyokong aspirasi universiti untuk muncul sebagai hab serantau dalam bidang berkaitan pada masa hadapan.

“Semoga jalinan ini dapat memantapkan jaringan USIM bersama industri, meningkatkan kepakaran dan visibiliti universiti serta membuka laluan untuk USIM berkembang sebagai hab serantau dalam bidang teknologi digital suatu hari nanti,” katanya.
Kerjasama itu turut disokong oleh pasukan pensyarah seni bina USIM termasuk Ar. Fadli, Ar. Ahmadsyafiie, Ar. Azrul, Ar. Nasrudin dan Dr. Madihah yang akan memainkan peranan dalam menyelaras pelaksanaan program berasaskan BIM di USIM.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen FKAB dalam memperluas kerjasama strategik bersama industri bagi memastikan pembangunan kompetensi pelajar dan tenaga akademik sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan semasa sektor pembinaan.
Noorumaina Mohamed Yunus adalah Penolong Pegawai Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
