Oleh: Dr. Siti Suriani Othman dan Dr. Ismatul Nurul Asyikin Ismail

SEBAGAI penulis, mungkin ramai akan setuju dengan kami. Ada satu perkara yang semakin sukar dinafikan dalam dunia penulisan hari ini iaitu, kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) bukan lagi teknologi masa hadapan.
Ia sudah berada di atas meja kita, dalam telefon kita, di bilik kuliah, di bilik berita dan dalam hampir setiap proses penghasilan kandungan.
Hari ini, seseorang boleh memberikan satu arahan kepada AI dan dalam beberapa saat terhasillah sebuah artikel. Mahu berita? Boleh. Mahu rencana? Boleh. Mahu gaya akademik? Boleh. Mahu bahasa yang lebih santai? Juga boleh.
Namun, apabila mesin semakin pantas menghasilkan perkataan, timbul satu persoalan yang jauh lebih penting: Apakah yang masih menjadikan tulisan manusia bernilai?
Jawapannya mungkin terletak pada sesuatu yang semakin kita lupa untuk hargai iaitu kecerdasan tulen manusia.
Perkara ini antara renungan penting yang boleh kita pelajari daripada perkongsian oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak, Penasihat Universiti Sains Islam Malaysia Writers’ Pool (UWP) dalam program wacana ILMU 2.0.
Program tersebut dianjurkan oleh UWP, di universiti itu baru-baru ini, khususnya apabila membicarakan masa depan penulisan dalam era AI.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kita sering membincangkan AI seolah ia akan menentukan masa depan manusia. Tetapi mungkin persoalan yang lebih mendesak adalah sama ada manusia sendiri akan terus menggunakan kecerdasannya atau secara perlahan-lahan menyerahkan tugas berfikir kepada mesin.
AI boleh menghasilkan jawapan, tetapi manusia perlu menghasilkan persoalan. Inilah perbezaan yang semakin penting. Tidak dinafikan AI sangat baik dalam memproses sejumlah besar maklumat, mengenal pasti pola, menyusun idea dan menghasilkan teks dalam masa yang singkat.
Tetapi manusian mempunyai keupayaan yang lebih asas dan lebih penting iaitu menentukan apa yang patut ditanyakan. Ia lahir daripada rasa ingin tahu, pengalaman, pemerhatian, kegelisahan dan keberanian untuk mempersoalkan perkara yang kita anggap biasa sebelum ini.
Hari ini, AI boleh memberikan jawapan kepada soalan yang kita ajukan. Tetapi siapa yang menentukan bahawa soalan itu perlu ditanyakan? Di situlah kecerdasan tulen manusia memainkan peranan. Masalahnya bukan AI, tetapi manusia yang berhenti berfikir.
Dalam banyak perbincangan, kita mungkin terlalu sibuk bertanya, “Bolehkah AI menulis?” Sedangkan soalan yang lebih penting adalah, “Adakah manusia masih tahu bagaimana hendak berfikir sebelum menulis?”
Sebelum kemunculan AI pun, kita sudah berhadapan dengan tulisan yang lemah. Tulisan yang terlalu umum. Tulisan yang penuh dengan kata-kata besar tetapi tidak membawa makna. Tulisan yang kelihatan kemas tetapi tidak meninggalkan kesan.
Hari ini, AI hanya menjadikan proses menghasilkan tulisan seperti itu jauh lebih mudah. Dengan beberapa arahan, kita boleh mendapatkan teks yang tersusun, kemas dan gramatis. Namun tulisan yang kelihatan sempurna belum tentu mempunyai pemikiran yang asli.
Jika manusia hanya menerima apa yang diberikan oleh AI tanpa mempersoalkan, menyemak dan menambah perspektif sendiri, lama-kelamaan manusia mungkin kehilangan perkara yang paling penting dalam proses kreatif iaitu otot pemikirannya sendiri.
Salah seorang daripada penulis adalah berlatarbelakangkan bidang kewartawanan. Jika perbincangan ini diambil daripada perspektif kewartawanan, seorang wartawan yang sudah bertahun-tahun turun ke lapangan mungkin dapat berasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun sumbernya memberikan jawapan yang kelihatan sempurna.
Seorang guru mungkin tahu seorang pelajarnya sedang menghadapi masalah hanya melalui perubahan kecil pada tingkah lakunya. Seorang penulis pula mungkin mendengar satu ayat biasa dalam sebuah temu bual tetapi menyedari bahawa di sebaliknya terdapat cerita yang jauh lebih besar.
Itu bukan sekadar pemprosesan maklumat. Itu adalah pengalaman yang diterjemahkan menjadi pertimbangan. Manusia belajar daripada kesilapan, kegagalan, kehilangan, hubungan, emosi, pemerhatian dan kehidupan yang dilalui.
AI boleh memproses pengalaman manusia yang telah direkodkan sebagai data. Tetapi, manusia mengalami kehidupan itu sendiri, dan pengalaman itulah yang sering menghasilkan intuisi, empati dan kebijaksanaan.
Tulisan yang baik mempunyai manusia di belakangnya. Pembaca sebenarnya tidak hanya membaca perkataan. Pembaca membaca pengalaman. Mereka membaca kejujuran. Mereka membaca emosi. Mereka membaca perspektif.
Mereka membaca sesuatu yang membuatkan mereka berkata, “Aku pernah rasa begini.” Sebab itu tulisan yang paling diingati bukan semestinya tulisan yang paling sempurna dari segi tatabahasa.
Kadangkala tulisan yang paling memberi kesan adalah tulisan yang mempunyai satu pengalaman kecil tetapi benar.
Seorang ibu yang menunggu anaknya pulang. Seorang guru yang masih menyimpan buku latihan muridnya selepas puluhan tahun. Seorang wartawan yang berdiri di tepi jalan ketika hujan untuk mendapatkan satu kenyataan. Seorang anak yang hanya memahami pengorbanan ibu bapanya setelah dia sendiri menjadi ibu atau bapa.
Perkara-perkara itu mungkin kelihatan kecil. Tetapi di situlah jiwa sesuatu tulisan. AI boleh membantu kita membina struktur. Tetapi kecerdasan tulen manusia memberikan tulisan itu makna.
Mungkin yang penting kita lihat hari ini adalah jangan bersaing dengan AI pada perkara yang AI lebih baik. Jika AI boleh menghasilkan 1,000 perkataan dalam beberapa saat, jangan berlumba dengan AI untuk menghasillkan 1,000 perkataan dalam lima minit.
Sebaliknya, gunakan masa itu untuk melakukan perkara yang AI tidak boleh lakukan dengan cara manusia. Misalnya, pergi melihat. Pergi bertanya. Pergi mendengar. Pergi mengalami. Kemudian bawa pengalaman itu ke dalam tulisan.
Dengan kata lain, AI sepatutnya mengurangkan kerja mekanikal penulis, bukan menggantikan pemikiran penulis. Penulis yang bijak bukan penulis yang menolak AI sepenuhnya.
Penulis yang bijak adalah penulis yang tahu bila perlu menggunakan AI dan bila perlu meletakkan AI di tepi. Daripada “AI literacy” kepada “human intelligence”. Mungkin ini yang perlu kita advokasikan sekarang untuk membina ekosistem penulisan yang sihat dan lestari.
Dr. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, dan Dr. Ismatul Nurul Asyikin Ismail ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
