PADANG, INDONESIA – Fenomena perubahan iklim semakin ketara serta kejadian cuaca ekstrem dan bencana alam melanda pelbagai kawasan di Malaysia menjadi peringatan isu kelestarian bukan lagi sekadar agenda global, sebaliknya adalah cabaran yang perlu ditangani secara bersama.
Banjir, hujan lebat luar biasa, tanah runtuh, gelombang haba dan perubahan corak cuaca bukan sahaja memberi kesan terhadap alam sekitar, malah turut menjejaskan kehidupan masyarakat, ekonomi, kesihatan serta kesejahteraan generasi akan datang.
Dalam mendepani cabaran tersebut, mahasiswa dilihat mempunyai peranan penting sebagai kelompok intelektual dan pemimpin masa hadapan yang mampu mencetuskan perubahan melalui pengetahuan, inovasi serta gerakan kesukarelawanan.
Menyedari hakikat ini, peranan mahasiswa sebagai pemacu perubahan global terus diperkasakan menerusi Forum SDG: Empowering University Students for a Sustainable Future pada 10 Ogos lalu di Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.
Forum ini merupakan hasil kerjasama antara Kelab Prime Mover UiTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dan Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) Universitas Negeri Padang. Penganjuran
forum ini adalah antara pengisian utama di bawah Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia, yang bertujuan membimbing mahasiswa menjadi pemangkin transformasi dalam menangani isu pembangunan mampan, di samping memperkukuh jaringan akademik, kepimpinan dan kesukarelawanan antara Malaysia dan Indonesia.
Forum memberi tumpuan kepada beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 5: Kesaksamaan Gender, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.
Penglibatan mahasiswa daripada kedua-dua negara membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, idea dan pendekatan terbaik dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Lebih penting, forum ini memperlihatkan mahasiswa tidak seharusnya hanya menjadi penerima ilmu, tetapi perlu tampil sebagai agen perubahan, pencetus inovasi dan pemimpin komuniti dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan.
Mengenai SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, perbincangan forum turut memberi perhatian kepada perkembangan pesat teknologi moden, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pusat data (data centres) yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik pada kadar tinggi.
Perkembangan teknologi digital sememangnya membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia, namun pada masa yang sama turut menimbulkan persoalan terhadap kelestarian tenaga dan alam sekitar.
Pemprosesan data secara besar-besaran memerlukan kapasiti tenaga yang tinggi dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan pelepasan karbon sekiranya tidak diseimbangkan dengan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Dalam konteks Malaysia, isu ini menjadi semakin penting apabila negara pada masa yang sama berhadapan dengan kesan perubahan iklim yang dapat dilihat melalui peningkatan risiko cuaca ekstrem dan bencana berkaitan iklim.
Keadaan tersebut menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh dengan mengimbangi kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Bagi menangani cabaran tersebut, panel forum turut mengetengahkan pelbagai inisiatif strategik Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan jejak karbon negara, termasuk pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0), usaha memperkenalkan mekanisme cukai karbon (Carbon Tax) serta komitmen melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR) dalam memperkukuh penggunaan tenaga boleh baharu.
Perbincangan turut menekankan bahawa usaha menangani perubahan iklim tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan atau institusi tertentu. Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk universiti, industri, komuniti dan khususnya mahasiswa sebagai generasi yang bakal mewarisi masa depan dunia.
Menurut Presiden Kelab Prime Mover UiTM yang juga Pengarah Program Global Volunteer Mission 4.0, Muhammad Irfan Haziq Abdul Razak, penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan antarabangsa amat penting dalam membentuk generasi yang mempunyai pemikiran global serta keupayaan untuk memahami cabaran masyarakat merentasi sempadan.
“Penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan antarabangsa bukan sahaja membuka mata mereka terhadap realiti cabaran global, malah mendidik mahasiswa untuk lebih proaktif dalam mencari penyelesaian yang mampan bagi komuniti serantau,” katanya.

Sewaktu forum berlangsung, wakil Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) Universitas Negeri Padang turut memperkenalkan organisasi serta peranan mereka dalam menggerakkan aktiviti mahasiswa.
Dalam masa yang sama, Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban berkongsi objektif penubuhan kelab serta pelbagai inisiatif kesukarelawanan yang telah dilaksanakan di peringkat universiti, komuniti dan antarabangsa.
Perkongsian dua hala tersebut bukan sahaja memperkenalkan pengalaman dan kekuatan setiap organisasi, malah membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk menggembleng kepakaran dan tenaga dalam menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap isu masyarakat serta agenda pembangunan mampan pada masa hadapan.
Selain forum ilmiah, program turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, sesi pengenalan budaya serta makanan tempatan yang menjadi wadah untuk mahasiswa Malaysia dan Indonesia saling mengenali serta menghargai kepelbagaian budaya serantau.
Majlis penutup turut menyaksikan penyampaian cenderahati sebagai simbol penghargaan terhadap kerjasama erat antara Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dan Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa Universitas Negeri Padang.
Aktiviti kebudayaan yang dilaksanakan bukan sahaja memperkukuhkan hubungan persahabatan antara mahasiswa kedua-dua negara, malah membuktikan bahawa kesukarelawanan dan pembangunan mampan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira perbezaan bahasa, budaya dan sempadan negara.
Menurut Pengurus Program Forum SDG, Muhammad Raif Kamarul Anwar, kolaborasi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia merupakan satu langkah penting dalam membentuk generasi muda yang mampu berfikir dan bertindak melangkaui batas geografi.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia membuktikan perbezaan sempadan bukanlah penghalang untuk kita bersama-sama menggembleng tenaga ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, Forum SDG: Empowering University Students for a Sustainable Future berjaya menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan antarabangsa antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam usaha merealisasikan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Lebih daripada sekadar sebuah forum, program ini menjadi medan untuk mahasiswa berkongsi perspektif, membina jaringan, memahami cabaran global dan meneroka penyelesaian secara bersama. Isu perubahan iklim, bencana alam, kelestarian tenaga dan perkembangan teknologi membuktikan bahawa cabaran masa hadapan tidak mengenal sempadan negara.

Justeru, mahasiswa perlu berani melangkaui sempadan pemikiran, budaya dan geografi untuk tampil sebagai pemimpin perubahan yang berilmu, berintegriti, berdaya saing dan berjiwa sukarelawan.
Melalui kolaborasi rentas negara seperti ini, Malaysia dan Indonesia bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi, malah mampu melahirkan generasi muda yang bersedia menerajui penyelesaian terhadap cabaran global serta mencipta impak yang bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.
Melangkaui sempadan, menghubungkan kepimpinan. Bersama menerajui SDG, demi masa depan yang lebih lestari.
Nawwar Hafidz Rahimi adalah Exco Penerbitan Artikel dan Media Massa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
