KUALA LUMPUR – Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) memperoleh kontrak ketiga daripada JLG Technopark Sdn Bhd bernilai RM41.52 juta bagi kerja tanah dan infrastruktur utama di Southern Ibrahim Technopolis (IBTEC), Kulai, Johor.
Kontrak terbaharu itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB) yang menerima Surat Penerimaan Tender (LOA) berserta surat tambahan daripada JLG Technopark bagi cadangan pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta infrastruktur utama di Seksyen 1B4, Pakej 1B, IBTEC.
Kontrak itu mempunyai tempoh pembinaan selama 19 bulan dan dijadualkan siap pada 3 Jun 2028.
Penganugerahan terbaharu itu mengukuhkan penglibatan berterusan Advancecon dalam pembangunan IBTEC, selain memperkukuh baki buku pesanannya serta memberikan keterlihatan pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
la turut menyusuli kontrak kerja tanah dan infrastruktur utama bernilai RM148.4 juta yang diperoleh daripada JLG Technopark pada Mac 2026.
Advancecon berkata, kontrak tambahan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan apabila kerja-kerja pembinaan dilaksanakan.
Pengarah Urusan Advancecon, Phum Boon Eng berkata, kejayaan memperoleh kontrak ketiga daripada JLG Technopark mencerminkan penglibatan berterusan syarikat dalam pembangunan perindustrian utama berkenaan.
Menurutnya, kejayaan memperoleh satu lagi kontrak dalam pembangunan sama membuktikan kerelevanan keupayaan teknikal serta rekod prestasi Advancecon dalam melaksanakan projek kerja tanah dan infrastruktur berskala besar.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Johor terus menawarkan peluang dalam pembangunan perindustrian dan infrastruktur, disokong pelaburan berterusan dalam sektor pembuatan, teknologi serta industri bernilai tinggi yang lain.
“Dengan IBTEC semakin berkembang sebagai hab perindustrian dan teknologi penting, kami berbesar hati dapat menyumbang kepakaran bagi menyokong pembangunan berperingkat,” katanya.
Southern Ibrahim Technopolis merupakan hab perindustrian dan teknologi yang sedang berkembang di Johor, dengan kedudukan strategik untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pembuatan dan industri bernilai tinggi Malaysia.
Pembangunan itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan serantau, khususnya ketika aktiviti pengembangan industri dan pelaburan terus berkembang di koridor selatan.
Pada masa hadapan, Advancecon akan terus meneroka projek infrastruktur berkualiti yang memanfaatkan kekuatan terasnya dalam kerja tanah dan kejuruteraan awam, khususnya bagi pembangunan perindustrian, perbandaran serta projek berkaitan infrastruktur.
Kumpulan kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos dan modal kerja secara berhemat serta penyertaan tender secara terpilih bagi menyokong pertumbuhan pendapatan mampan, selain terus menyumbang kepada pembangunan perindustrian dan infrastruktur Malaysia.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
