KUALA LUMPUR – Pioneer Heat Holdings Bhd (Pioneer Heat), penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal, menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM21.68 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 17 September 2026.
IPO berkenaan membabitkan terbitan awam sebanyak 86.70 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 17.35 juta saham biasa sedia ada pada harga 25 sen sesaham.
Pioneer Heat dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM86.73 juta selepas disenaraikan.
Daripada hasil IPO, RM4 juta akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat baharu di Sendayan, Negeri Sembilan, manakala RM2.07 juta diperuntukkan bagi membuka pejabat baharu di Sarawak.
Sebanyak RM4.01 juta pula akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan, RM7.90 juta sebagai modal kerja, manakala RM3.70 juta bagi membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Pioneer Heat, Wong Wei Ken, berkata ibu pejabat baharu di Sendayan akan menjadi pangkalan operasi kumpulan bagi memenuhi keperluan pelanggan di wilayah Tengah.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan akan merangkumi pejabat pentadbiran, gudang dan bengkel, manakala pejabat baharu di Sarawak akan menyokong aktiviti fabrikasi kili paip dan struktur paip serta menyediakan kapasiti penyimpanan tambahan.
“Kumpulan baru-baru ini memperoleh lesen vendor berdaftar Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), yang dilihat membuka peluang besar untuk menyertai pasaran minyak dan gas di wilayah ini,” katanya pada taklimat media selepas pelancaran prospektus kumpulan itu, hari ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Permohonan IPO Pioneer Heat dibuka hari ini dan akan ditutup pada 3 September 2026, sebelum saham syarikat dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 17 September 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan.
Pioneer Heat mempunyai pengalaman operasi sejak 1997 dan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dengan kepakaran dalam sistem perpaipan, rawatan haba, pengurusan bebibir serta ujian tanpa musnah (NDT).
Perkhidmatan kumpulan merangkumi keseluruhan kitar hayat loji perindustrian, termasuk pembinaan loji baharu, penyelenggaraan, pemulihan loji berjadual, pengubahsuaian dan projek naik taraf.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
