KUALA TERENGGANU – Tidak mahu dibebani pencapaian pada edisi lalu, skuad ragbi Terengganu tampil lebih realistik dengan meletakkan sasaran pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Pengurus pasukan, Mohd Amirulmukminin Sulaiman berkata sasaran itu dibuat selepas mengambil kira perubahan besar dalam skuad kali ini yang dibarisi sebahagian besar pemain baharu.
Katanya, biarpun sasaran ditetapkan secara sederhana, persiapan pasukan kini berada pada tahap terbaik dan pemain sudah bersedia untuk turun beraksi apabila saingan bermula 19 Ogos ini.
“Momentum pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dan semua pemain sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Kita sedar cabaran kali ini berbeza kerana sebahagian besar pemain adalah muka baharu, tetapi itu tidak bermakna kita datang sekadar melengkapkan saingan,” katanya selepas majlis ringkas meraikan 26 pemain dan pegawai skuad ragbi Terengganu di Kuala Terengganu.
Pada SUKMA Sarawak sebelum ini, skuad lelaki Terengganu mencuri tumpuan apabila mara ke final sebelum meraih pingat perak, manakala pasukan wanita membawa pulang gangsa.
Namun, Amirulmukminin berkata pencapaian itu tidak seharusnya menjadi tekanan kepada barisan baharu yang akan menggalas cabaran Terengganu di Selangor.
“Kalau boleh capai lebih daripada sasaran, sudah tentu itu lebih baik. Tetapi buat masa ini, gangsa adalah sasaran yang lebih realistik berdasarkan kekuatan dan komposisi pasukan.
“Paling penting pemain perlu percaya kepada kemampuan sendiri dan melaksanakan apa yang dirancang,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Majlis ringkas berkenaan turut menjadi suntikan moral buat pasukan sebelum berangkat ke Selangor, selain menghimpunkan pemain, pengurusan dan pemegang taruh sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan skuad ragbi Terengganu.
Pada edisi kali ini, skuad lelaki Terengganu diundi dalam Kumpulan D bersama Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Pasukan wanita pula berada dalam Kumpulan E bersama Sabah, Kedah dan Johor.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, dengan saingan ragbi bermula 19 Ogos.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
