Petempatan Orang Asli Kampung Cot kampung serpihan tidak berdaftar, dakwaan tanah adat tidak dapat disahkan – Exco Pahang

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang menjelaskan petempatan Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini bukan sebuah perkampungan Orang Asli yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sebaliknya sebuah kampung serpihan yang tidak mempunyai status pendaftaran rasmi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan pelbagai dakwaan dan maklumat yang tular berhubung pertikaian tanah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod rasmi JAKOA, hanya terdapat 12 penama Orang Asli yang dikenal pasti mengusahakan tanah di lokasi berkenaan selaras dengan tuntutan bertulis yang pernah dikemukakan kepada agensi itu.

Menurut beliau, kawasan tanah yang menjadi pertikaian itu sebenarnya telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonan tersebut diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 pada 4 November 2015.

“Sehubungan itu, isu yang timbul pada masa ini melibatkan pertindihan tuntutan antara syarikat yang telah memperoleh kelulusan sah daripada kerajaan negeri dengan individu-individu yang mendakwa mempunyai kepentingan terhadap kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.

Bagi mencari penyelesaian secara baik, Syed Ibrahim berkata, JAKOA telah mengadakan beberapa siri libat urus dan perbincangan bersama penama Orang Asli yang terbabit bagi meneliti tuntutan mereka serta mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak.

Hasil daripada perbincangan itu, katanya, hanya enam daripada 12 penama asal masih meneruskan tuntutan mereka melalui JAKOA, manakala selebihnya tidak lagi berbuat demikian.

Beliau berkata, dalam sesi perbincangan itu, enam penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat milik masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, menurut beliau, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan berdasarkan semakan rekod, dokumen serta fakta yang tersedia.

“Rekod yang diperoleh juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan berkenaan seluas kira-kira 30 ekar tanpa memperoleh kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Syed Ibrahim turut menjelaskan, enam individu yang masih meneruskan tuntutan itu bukan berasal daripada Kampung Cot sebagaimana yang sering digambarkan.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar di Maran, Kampung Orang Asli Paya Bungor di Kuantan serta Kampung Orang Asli Bukit Rok di Bera.

Menurut beliau, fakta itu penting bagi memberikan gambaran sebenar mengenai latar belakang tuntutan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Pahang tetap mengambil pendekatan yang adil, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran telah diarahkan meneliti bentuk bantuan atau penyelesaian yang bersesuaian, termasuk kemungkinan bantuan daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan, isu ini telah diberikan perhatian sejak awal lagi menerusi pelbagai siri perbincangan, libat urus dan rundingan bersama semua pihak yang berkepentingan.

“Setiap tindakan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang, fakta-fakta yang diperoleh serta prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berhubung isu tersebut.

Sebaliknya, katanya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian itu secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat supaya hak semua pihak dapat dihormati.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, dakwaan yang tular berhubung pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot tidak menggambarkan keseluruhan fakta sebenar kes berkenaan.

Beliau menegaskan, pelbagai kenyataan yang tersebar di media sosial hanya memaparkan sebahagian daripada naratif tanpa mengambil kira latar belakang sejarah, status tanah serta proses pentadbiran yang telah berlangsung sejak lebih sedekad lalu.

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian umum selepas pada 17 Julai lalu, sekumpulan masyarakat Orang Asli yang mendakwa berasal dari Kampung Sungai Cot, Maran berjalan kaki selama dua hari menuju ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi merayu campur tangan Kerajaan Persekutuan.

Perjalanan itu turut disertai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyokong yang menuntut supaya hak tanah adat masyarakat Orang Asli diberikan pengiktirafan serta perlindungan yang lebih kukuh.

Mereka mendakwa tanah yang diwarisi turun-temurun oleh puluhan keluarga Orang Asli suku Jakun telah diluluskan kepada sebuah syarikat pemaju oleh kerajaan negeri pada tahun 2015.

Kumpulan itu turut mendakwa beberapa kediaman penduduk telah dirobohkan dan dibakar dalam usaha mengosongkan kawasan berkenaan, sekali gus menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

Antara yang menarik perhatian ialah seorang wanita Orang Asli, Juliana, 34, yang berjalan kaki bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun.

Menurut Juliana, beliau membawa anaknya menyertai perjalanan tersebut kerana kanak-kanak itu sendiri menyaksikan bapanya ditahan, selain melalui pengalaman pahit sepanjang konflik tanah yang dihadapi keluarga mereka.

Sementara itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap nasib masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pertikaian berkenaan.

Baginda turut menzahirkan keprihatinan dengan mempelawa mana-mana keluarga Orang Asli yang memerlukan penempatan baharu supaya berpindah ke tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran sebagai langkah membantu mereka mendapatkan tempat tinggal yang lebih selamat sementara isu pertikaian tanah berkenaan diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *