PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) disaran memperluas ruang kerjasama dengan parti politik lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk mempertimbangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MUDA, Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti kecil yang mempunyai keserasian dengan prinsip dan agenda perjuangan gabungan itu.
Pengarah Mobilisasi AMANAH, Abbas Azmi berkata, pendekatan membentuk sebuah ‘khemah besar’ perlu dilihat sebagai strategi politik bagi menghimpunkan kekuatan pelbagai parti, sekali gus mengelakkan PH terlalu bergantung kepada mana-mana satu parti dalam usaha memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, kerjasama politik lebih inklusif juga penting dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin dinamik, khususnya apabila hubungan antara parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang dilihat semakin kompleks.
Katanya, pengalaman PH menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15 sememangnya memberikan beberapa manfaat, namun perkembangan politik mutakhir termasuk hubungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan terhadap hala tuju kerjasama politik sedia ada.
“Pada awalnya hubungan PH dan BN di Selangor sangat baik. Kita sendiri memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding di beberapa kerusi dan hasilnya mereka berjaya memenangi kerusi berkenaan.
“Namun, apabila berlaku kerjasama tidak rasmi BN dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan serta beberapa perkembangan politik lain, ia sedikit sebanyak mengguris hati penyokong dan pendukung PH,” katanya menerusi satu kenyataan.
Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, perkembangan sedemikian menunjukkan keperluan untuk PH menilai semula bentuk kerjasama politik yang mampu memberikan kekuatan lebih menyeluruh menjelang PRU16.
Beliau berpandangan konsep ‘khemah besar’ tidak semestinya bermakna semua parti perlu mempunyai ideologi atau pendirian yang sama dalam setiap perkara, sebaliknya kerjasama boleh dibina berdasarkan titik persamaan dan agenda bersama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, parti-parti yang mempunyai keserasian dalam usaha membina negara dan negeri yang stabil wajar diberikan ruang untuk berbincang serta mencari bentuk kerjasama yang sesuai.
“Konsep kerjasama politik adalah mudah iaitu mana-mana parti perlu bergabung bagi membina kekuatan untuk memenangi pilihan raya.
“Kita tidak boleh menang bersendirian. BN sendiri ketika kuat dahulu pun perlu bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain. Jadi konsep kerjasama itu memang sudah lama diamalkan dalam politik negara,” katanya.
Beliau berkata realiti politik Malaysia menunjukkan kemenangan pilihan raya lazimnya memerlukan gabungan kekuatan pelbagai kelompok pengundi dan kawasan, terutama dalam keadaan persaingan antara beberapa blok politik yang semakin sengit.
Justeru, katanya, PH perlu bersikap terbuka terhadap kemungkinan membina kerjasama baharu sekiranya ia dapat memperkukuhkan kedudukan gabungan berkenaan menjelang PRU16.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
