PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan polis menyiasat kes membabitkan penyebaran kandungan berunsur 3R yang didakwa menyentuh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut suruhanjaya itu, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan susulan penyebaran kandungan di media sosial dipercayai mempunyai unsur 3R dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyebaran kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja, khususnya kandungan bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penyalahgunaan platform digital untuk menyebarkan kandungan sedemikian bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berisiko menggugat perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan dan berkongsi kandungan di media sosial, selain mengelakkan sebarang bentuk kenyataan atau penerbitan yang menyentuh isu 3R.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan platform media sosial sebagai medium menyebarkan kandungan berbentuk hasutan, fitnah atau penghinaan yang boleh menimbulkan salah faham serta mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“MCMC menyeru semua pihak supaya tidak menyentuh isu 3R, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh berkempen pilihan raya, kerana ia boleh menjejaskan suasana aman dan proses demokrasi negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, orang ramai disaran sentiasa menggunakan platform komunikasi digital secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab dengan memastikan setiap maklumat yang dikongsi telah disemak kesahihannya serta tidak melanggar undang-undang sedia ada.
MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan PDRM dan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan sebarang penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang melibatkan unsur 3R dapat ditangani dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L