A. Kadir persoal kerugian pelaburan KWAP di Indonesia, gesa siasatan menyeluruh dan tindakan diambil

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin mempersoalkan bagaimana negara sekali lagi berdepan kerugian pelaburan di luar negara, kali ini membabitkan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang didakwa mengalami kerugian kira-kira RM200 juta susulan pelaburan dalam syarikat akuakultur Indonesia, eFishery.

Beliau berkata, walaupun nilai kerugian itu tidak sebesar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau kerugian pelaburan Felda di Indonesia, insiden berkenaan tetap mencetuskan persoalan serius mengenai tadbir urus dana awam serta tahap pemantauan terhadap pelaburan institusi milik kerajaan.

Menerusi tulisan terbaharu yang dimuat naik di media sosial, A. Kadir berkata, beliau sebelum ini telah mengimbas semula skandal 1MDB dan kerugian besar yang ditanggung Felda menerusi pelaburan dalam Felda Global Ventures (FGV) serta pengambilalihan Eagle High Plantations di Indonesia.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disebut semula susulan terdapat pihak yang mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini sebagai bukti rakyat masih menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ada juga pihak yang secara terbuka menyuarakan hasrat supaya Najib kembali menerajui pentadbiran negara walaupun skandal kewangan yang berlaku ketika pentadbirannya masih memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal negara.

“Maaf cakaplah, saya tidak faham macam mana masih ada orang Melayu yang beragama Islam berfikiran sedemikian,” katanya.

Menurut A. Kadir, skandal 1MDB telah menyebabkan negara menanggung beban hutang mencecah kira-kira RM53 bilion, manakala Felda pula mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit melalui beberapa keputusan pelaburan yang disifatkannya sebagai gagal.

Katanya, kerugian tersebut belum mengambil kira isu yang pernah membabitkan Lembaga Tabung Haji serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang sebelum ini turut dikaitkan dengan pelbagai masalah pelaburan.

Dalam masa sama, beliau berkata, rakyat dikejutkan sekali lagi apabila Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan KWAP telah ditipu kira-kira RM200 juta menerusi pelaburan dalam eFishery.

Menurut beliau, pengakuan itu menunjukkan negara belum bebas daripada risiko kegagalan pelaburan melibatkan institusi awam walaupun kerajaan telah berkali-kali menegaskan komitmennya terhadap prinsip tadbir urus yang baik.

“Walaupun jumlahnya tidak sebesar 1MDB dan Felda, namun tipu tetap tipu dan rugi tetap rugi.

“Lebih membimbangkan apabila kerugian itu membabitkan wang tabung pencen kakitangan awam yang berada di bawah pengawasan Kementerian Kewangan,” katanya.

A. Kadir turut membangkitkan hakikat pelaburan tersebut dilaporkan dibuat pada tahun 2023, iaitu tahun pertama Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menurutnya, KWAP pula dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, sekali gus menjadikan persoalan mengenai proses kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan wajar diberi perhatian.

Beliau turut merujuk kepada laporan media pada 26 Mei lalu yang memetik Anwar mengalu-alukan penglibatan syarikat Malaysia dalam projek akuakultur berskala besar di Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan makanan serta rantaian bekalan protein di rantau ASEAN.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kenyataan kerajaan yang menjelaskan pelaburan KWAP dibuat mengikut proses penilaian dan tadbir urus bertaraf antarabangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan mana-mana pihak daripada tanggungjawab.

Menurutnya, laporan media di Indonesia serta beberapa media antarabangsa sejak tahun 2023 telah pun membangkitkan dakwaan bahawa eFishery terbabit dengan manipulasi penyata kewangan dan penipuan korporat.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada maklumat berkenaan benar-benar telah dinilai sewajarnya sebelum keputusan pelaburan dibuat.

“Masakan Perdana Menteri boleh terlepas pandang laporan-laporan seperti itu?” soalnya.

Mengulas lebih lanjut, A. Kadir berkata, sejarah menunjukkan banyak syarikat Malaysia, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pelbagai tabung awam pernah membuat pelaburan dalam sektor pertanian di Indonesia.

Namun, menurut beliau, tidak sedikit daripada pelaburan tersebut akhirnya berdepan pelbagai masalah operasi, pertikaian serta kerugian besar yang memberi kesan kepada dana milik rakyat.

Justeru, beliau menegaskan, mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian terbaru melibatkan KWAP perlu dipertanggungjawabkan mengikut saluran yang sewajarnya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya Parlimen perlu mengambil tindakan mengecam pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan wang persaraan penjawat awam dilaburkan secara berhemat dan selamat.

A. Kadir turut menggesa orang ramai meneliti laporan berkaitan isu berkenaan bagi memahami keseluruhan latar belakang kes, selain menegaskan bahawa setiap kerugian melibatkan dana awam perlu disiasat secara telus agar kesilapan sama tidak terus berulang pada masa hadapan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *