KUALA LUMPUR – Menjelang setiap pilihan raya, ada satu naratif yang hampir pasti akan kembali menghiasi pentas politik negara. Isu Datuk Seri Najib Tun Razak akan diangkat semula sebagai senjata politik, sama ada untuk menyerang lawan atau mempertahankan sekutu.
Bagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim keadaan itu bukan lagi sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya, beliau melihatnya sebagai satu kitaran politik yang berulang saban kali rakyat dipanggil mengundi.
Menurut Marina, apa yang melelahkan bukan sekadar isu Najib itu sendiri, tetapi bagaimana isu tersebut digunakan mengikut kesesuaian politik semasa.
Beliau mendakwa keyakinannya terhadap politik mula runtuh selepas satu pertemuan dengan seorang pemimpin politik pada 12 April lalu di sebuah premis komuniti di Skudai.
Dalam pertemuan itu, dakwanya, pemimpin berkenaan mengakui tidak menjadi masalah sekiranya Najib diberikan pengampunan atau tahanan rumah atas alasan jasa yang pernah dilakukan kepada negara.
Apa yang lebih mengecewakan, menurut Marina, ialah apabila beliau mendakwa diberitahu bahawa masa paling sesuai untuk perkara itu berlaku ialah selepas pilihan raya, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sokongan pengundi, khususnya masyarakat Cina.
Jika benar dakwaan itu berlaku, persoalan yang timbul bukan lagi mengenai pengampunan Najib semata-mata, tetapi mengenai bagaimana persepsi rakyat didakwa diurus mengikut keperluan politik.
Marina melihat keadaan itu sebagai bukti bahawa strategi politik hari ini bukan sekadar mengenai prinsip, sebaliknya lebih tertumpu kepada masa yang sesuai untuk sesuatu keputusan diumumkan agar kesan politiknya dapat diminimumkan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada ancaman meletakkan jawatan oleh sesetengah pemimpin sekiranya Najib menerima pengampunan lebih awal benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar langkah untuk mengurus persepsi pengundi.
Pada pandangan Marina, tindakan sedemikian lebih menyerupai satu persembahan politik berbanding pendirian yang benar-benar konsisten.
Beliau berhujah bahawa jika sesuatu perkara dianggap sebagai “garis merah”, pendirian tersebut sepatutnya dizahirkan sejak awal, bukannya hanya apabila keadaan politik memerlukan.
Marina turut mempersoalkan mengapa kerjasama politik dengan UMNO masih terus diusahakan selama beberapa tahun sekiranya isu berkaitan Najib benar-benar dianggap tidak boleh dikompromi.
Menurut beliau, persoalan sebenar ialah sama ada prinsip benar-benar menjadi asas dalam membuat keputusan politik atau sekadar disesuaikan mengikut keperluan semasa.
Beliau juga mengaitkan perkembangan itu dengan situasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pada pandangannya, isu Najib mungkin tidak akan kembali menjadi bahan kempen sekiranya UMNO Johor tidak terlebih dahulu memberi isyarat bahawa kerjasama politik dengan DAP tidak akan diteruskan.
Jika andaian itu benar, Marina melihat naratif politik berubah mengikut percaturan parti, bukannya berdasarkan prinsip yang konsisten.
Lebih daripada itu, beliau mengakui dirinya mungkin terlalu idealistik apabila mula menceburi politik.
Beliau berkata, politik pada asalnya dilihat sebagai wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukannya ruang untuk memanipulasi persepsi awam.
Menurut Marina, pengalaman bertemu masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik sepanjang menjadi wakil rakyat menjadikan beliau sukar menerima pendekatan yang didakwa lebih mementingkan strategi komunikasi berbanding kejujuran terhadap rakyat.
Beliau turut mempertahankan pasukan sukarelawan yang selama ini bersamanya.
Katanya, mereka bukan terdiri daripada individu yang mengejar jawatan atau kepentingan politik, sebaliknya orang biasa seperti peniaga kecil, ibu tunggal, pekerja harian dan individu yang pernah menerima bantuan sebelum memilih untuk menjadi sukarelawan.
Malah, ketika beliau berdepan pelbagai tuduhan sepanjang bergelar wakil rakyat, kumpulan itulah yang terus bersama mempertahankan integriti dan komitmennya kepada masyarakat.
Marina turut berkongsi bahawa sebelum membuat keputusan meninggalkan politik, beliau bertemu seorang lagi pemimpin parti dengan harapan dapat mendengar pandangan yang lebih meyakinkan.
Namun menurutnya, perbualan yang berlaku lebih berkisar mengenai pembahagian jawatan, kedudukan dalam parti dan pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sehingga menambahkan lagi rasa kecewanya terhadap budaya politik semasa.
Beliau mendakwa pemimpin tersebut sendiri meluahkan rasa tidak dilibatkan dalam banyak keputusan penting walaupun memegang jawatan tinggi dalam parti.
Bagi Marina, pengalaman-pengalaman itu mengukuhkan keyakinannya bahawa politik semakin jauh daripada matlamat asal untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau mengakui mungkin ada yang menganggap dirinya naif atau tidak cukup matang memahami strategi politik.
Namun beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa sesuatu prinsip tidak seharusnya berubah hanya kerana keadaan politik berubah.
“Dahulu apabila orang lain melakukan perkara yang sama, kita mengatakan ia salah. Hari ini apabila kita sendiri melakukannya, tiba-tiba ia menjadi betul,” katanya.
Menurut Marina, keadaan itu memperlihatkan kewujudan amalan dwistandard dalam politik, apabila sesuatu tindakan dinilai berbeza bergantung kepada siapa yang melakukannya.
Beliau juga mengkritik penggunaan frasa “demi kepentingan yang lebih besar”, yang menurutnya sering dijadikan alasan untuk membenarkan keputusan politik yang bercanggah dengan janji atau pendirian terdahulu.
Pada hemat beliau, naratif sedemikian akhirnya menjadikan rakyat sekadar “buah catur” dalam percaturan kuasa.
“Yang menggerakkan buah catur itu ialah ahli-ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.
Bagi Marina, persoalan terbesar hari ini bukan lagi parti mana yang harus dipilih oleh rakyat, tetapi sama ada politik Malaysia masih mampu mempertahankan prinsip, atau terus bergerak mengikut keperluan strategi dan pengurusan persepsi.
Beliau menegaskan bahawa kepercayaan rakyat tidak seharusnya dijadikan alat untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya perlu dihormati sebagai amanah yang menjadi asas kepada demokrasi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L