Lepas serah memo tuntut RCI, Pengarah Eksekutif Bersih dihalang masuk Sabah

KUALA LUMPUR – Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar mendakwa beliau dihalang memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Selasa malam, beberapa jam selepas menyertai penyerahan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan “mafia korporat”.

Menurut Asraf Sharafi, beliau yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dimaklumkan namanya telah dimasukkan dalam senarai notis amaran Sabah sebaik tiba di KKIA kira-kira jam 7 malam.

Beliau kemudian diarahkan pulang ke Kuala Lumpur tanpa dibenarkan memasuki negeri itu.

“Dalam tempoh sebulan berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri pelbagai perbincangan mengenai reformasi serta menyerahkan memorandum menuntut penubuhan RCI, sepatutnya malam ini saya sudah dapat bertemu isteri dan dua anak di Sabah.

“Namun nama saya telah dimasukkan dalam notis amaran Sabah dan saya dilarang memasuki negeri ini selepas 18 tahun berulang-alik ke Sabah, termasuk selepas berkahwin dengan orang Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, tindakan itu amat mengecewakan kerana dua anaknya menunggu kepulangannya, selain beberapa urusan peribadi yang dirancang di Sabah tidak dapat diteruskan.

“Saya juga tidak sempat menziarahi seorang rakan yang sedang uzur, selain gagal mengagihkan roti yang kebiasaannya saya bawa sebagai ole-oleh kepada penduduk di Sabah,” katanya.

Asraf Sharafi berkata beliau menulis hantaran tersebut ketika menunggu untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur dan mengakui beberapa pihak sedang berusaha membantu menyelesaikan perkara itu.

“Apa pun, nampaknya saya memang akan dihantar pulang malam ini,” katanya.

Terdahulu pada hari sama, Asraf Sharafi bersama beberapa aktivis berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI berhubung dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Bersih dalam satu kenyataan menggesa kerajaan Sabah memberikan penjelasan mengenai asas tindakan menghalang Asraf Sharafi daripada memasuki negeri berkenaan.

Gabungan itu turut menggesa sekatan berkenaan ditarik balik sekiranya tiada alasan yang munasabah, selain menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk intimidasi terhadap aktivis yang menjalankan hak mereka secara aman.

Untuk rekod, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam hal ehwal imigresen di bawah peruntukan undang-undang, termasuk kuasa menyekat kemasukan individu dari Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, kuasa tersebut sebelum ini pernah menjadi perhatian apabila beberapa aktivis dan ahli politik mendakwa ia digunakan untuk menghalang individu yang dilihat kritikal terhadap kerajaan daripada memasuki Sabah atau Sarawak. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada kerajaan Sabah berhubung tindakan yang dikenakan terhadap Asraf Sharafi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *