Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam negara bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap, selesa dan diyakini rakyat, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan dalam infrastruktur dan prasarana pengangkutan merupakan antara agenda penting kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan kemudahan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat.
Menurut beliau, pembangunan sektor pengangkutan awam bukan sekadar memberi kemudahan perjalanan, malah memainkan peranan besar dalam meningkatkan daya saing negara serta menghubungkan kawasan bandar dan pinggir bandar dengan lebih efisien.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh pengangkutan awam negara agar lebih cekap, selesa dan diyakini rakyat.
“Pelaburan dalam infrastruktur serta prasarana pengangkutan merupakan ikhtiar berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup, merancakkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perkongsian itu dibuat bersama paparan video berkaitan pembangunan sistem transit bandar yang menampilkan kemudahan Laluan Shah Alam atau LRT3, yang dijangka memberi manfaat kepada jutaan penduduk di kawasan Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.
LRT3 sepanjang 37.8-kilometer yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia dilihat sebagai antara projek pengangkutan strategik negara yang bakal meningkatkan tahap kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang Barat.
Projek tersebut turut dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan tempoh perjalanan serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat.
Kerajaan sebelum ini menegaskan pembangunan infrastruktur pengangkutan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan sistem mobiliti negara mampu memenuhi keperluan rakyat selain menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Usaha berterusan dalam memperluas jaringan pengangkutan awam juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan kemudahan yang lebih moden, inklusif dan berdaya tahan demi manfaat generasi masa hadapan.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L