KUALA LUMPUR – Enest Group Bhd, pemproses dan pedagang sarang burung walit menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM15.11 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijadualkan pada 15 Julai ini.
Pada harga 13 sen sesaham, IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 116.25 juta saham baharu, mewakili 20 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat sebanyak 581.25 juta saham, selain tawaran jualan 15.05 juta saham sedia ada.
Selepas penyenaraian, syarikat dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM75.56 juta berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 581.25 juta saham.
Pengarah Urusan Enest Group Tan Teh Jie, berkata IPO itu akan mengukuhkan kedudukan Enest Group dalam industri sarang burung walit, di samping menyokong perjalanan korporat syarikat ke arah pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.
“Daripada hasil IPO itu, sebanyak RM5 juta akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, RM6.41 juta sebagai modal kerja dan RM3.7 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO Ernest Group di sini, hari ini.
Beliau berkata, dana modal kerja daripada hasil IPO akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pembelian sarang burung walit mentah ketika harga berada pada paras rendah bagi membantu mengukuhkan margin keuntungan syarikat.
Enest beroperasi dalam pemprosesan dan penjualan sarang burung walit mentah yang dibersihkan, perdagangan sarang burung walit serta penjualan produk sarang burung walit yang diproses kepada pengedar, pengimport, syarikat pemprosesan dan peruncit.
Sementara itu, Teh Jie berkata China kekal menjadi pasaran terbesar syarikat, selain syarikat turut menjual minuman kesihatan dan sarang burung walit dalam botol serta mengendalikan perniagaan runcit kesihatan dan penjagaan diri di bawah jenama Kang Li.
“Bagi menyokong pertumbuhan masa depan, Enest Group merancang membina kemudahan baharu di Kajang bagi mengeluarkan sendiri minuman sarang burung walit dalam botol dan minuman herba dengan kapasiti maksimum kira-kira 300,000 botol setahun.
“Selain itu, syarikat turut menyasarkan untuk memperluaskan pangkalan pelanggan di China, khususnya dalam kalangan pengeluar produk perubatan tradisional Cina dan produk kesihatan, di samping mengembangkan eksport sarang burung walit mentah yang belum dibersihkan ke negara itu,” katanya.
Ketua Pegawai Operasinya, Lok Chyi Yeu, pula berkata China kekal sebagai pasaran utama syarikat dengan lebih 60 peratus hasil jualan disumbangkan pelanggan di negara itu, namun Enest turut giat memperluaskan pasaran ke beberapa negara lain termasuk Jepun, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Australia dan New Zealand.
“Enest juga tidak melihat ketegangan geopolitik global sebagai faktor yang memberi kesan besar terhadap operasi kerana syarikat mempunyai perjanjian jangka panjang dengan rakan logistik selain menggunakan penghantaran udara bagi eksport produknya,” katanya.
Permohonan bagi IPO Enest Group Berhad dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada jam 5 petang, 2 Julai 2026. M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L