IPOH – Polis menyiasat kemungkinan wujudnya saluran tertentu yang membolehkan dadah dianggarkan bernilai RM18,534 dibawa masuk ke lokap Balai Polis Lumut, Manjung.
Siasatan itu dijalankan selepas pemeriksaan rutin di lokap berkenaan pada Selasa menemukan sejumlah dadah disyaki methamphetamine, heroin dan kanabis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan kira-kira jam 8.30 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 40-an yang merupakan orang kena tuduh (OKT).
“Sebanyak 16 bunjut tiub plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine dengan berat 109.54 gram ditemukan.
“Turut dirampas 16 bunjut plastik disyaki mengandungi heroin seberat 110.37 gram serta 23 bunjut tiub plastik berisi daun kering disyaki kanabis dengan berat 142.31 gram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Menurutnya, penemuan dadah berkenaan turut membawa kepada penahanan seorang anggota polis berpangkat Konstabel berusia 30-an dan bertugas di Balai Polis Lumut.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua OKT positif methamphetamine, manakala anggota polis berkenaan negatif dadah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Ketiga-tiga mereka kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Ogos ini bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd Alwi berkata, polis memberi tumpuan kepada persoalan bagaimana bahan terlarang itu boleh berada dalam kawasan lokap selain mengenal pasti pihak yang membekalkan dadah berkenaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan kemungkinan wujud penglibatan pihak lain dalam kes tersebut.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
