Durian Musang King Jadi Rebutan

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Selepas kejayaan jualan durian kampung yang mendapat sambutan hangat baru-baru ini, penjual buah dari Kampung Meranto, Gua Musang, Faisal Md.Yusoff sekali lagi mencuri perhatian penduduk Kampung Gual To’ Deh apabila membawa durian Musang King yang menjadi rebutan ramai.

Durian Musang King yang terkenal dengan isi tebal, warna kuning keemasan dan rasa lemak manis itu mendapat permintaan tinggi sehingga ramai pelanggan membuat tempahan lebih awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati raja buah berkenaan.

Seorang penduduk, Hazimah Mohd Razali, berkata beliau hanya berjaya mendapatkan durian yang ditempah selepas menunggu selama tiga hari berikutan permintaan yang tinggi daripada penduduk setempat.

“Saya membuat tempahan tiga hari lalu dan hari ini baru dapat. Musang King memang menjadi pilihan utama penduduk di sini kerana rasanya yang lemak, manis dan sangat sedap,” katanya.

Menurut Hazimah, harga yang ditawarkan pada musim ini jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk menikmati durian yang terkenal itu.

“Alhamdulillah, tahun ini orang susah seperti saya pun dapat merasa Musang King. Harganya serendah RM10 sekilogram bagi buah yang bersaiz kecil atau gred biasa. Bagi buah yang lebih besar dan berkualiti, harganya berbeza mengikut saiz serta gred buah tersebut.

“Pada tahun-tahun lepas, harga Musang King boleh mencecah sehingga RM40 sekilogram. Bila harga lebih berpatutan begini, ramai yang mengambil peluang membeli untuk keluarga. Memang berbaloi dan puas hati.

“Kalau dahulu saya hanya mampu melihat orang lain membeli Musang King, kini saya sendiri dapat membawanya pulang untuk dinikmati bersama keluarga,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Faisal Md. Yusoff berkata sambutan yang diterima daripada penduduk Kampung Gual To’ Deh amat menggalakkan dan beliau bersyukur apabila jualan durian Musang King mendapat permintaan yang tinggi.

Menurut beliau, selain penduduk kampung, durian yang dibawanya turut mendapat tempahan daripada para guru, kakitangan serta pengusaha kantin di Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

“Ramai pelanggan membuat tempahan lebih awal. Selain penduduk Kampung Gual To’ Deh, saya turut menerima tempahan daripada guru-guru, kakitangan dan pengusaha kantin Maahad Muhammadi Rantau Panjang. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.

Faisal turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelanggan yang terus memberi kepercayaan dan sokongan terhadap jualan durian yang dibawanya dari Kampung Meranto.

Beliau berharap dapat meneruskan jualan durian Musang King sepanjang musim durian bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Kejayaan jualan tersebut membuktikan bahawa durian dari Gua Musang terus mendapat tempat di hati peminat raja buah.

Dengan harga yang lebih berpatutan pada musim ini, lebih ramai penduduk berpeluang menikmati keenakan Musang King yang sebelum ini dianggap agak mahal bagi sesetengah golongan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *