SEREMBAN – Seorang anggota tentera cedera selepas disyaki terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, mangsa cedera di muka dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini dengan keadaanya dilaporkan stabil.
“Pihak kami mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang anggota tentera terkena tembakan di lapang sasar, Sungai Menyala. Kejadian dilaporkan jam 2.15 petang ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Mohd Nasharudin berkata, susulan itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelak penyebaran maklumat tidak tepat sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
