KOTA BHARU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang memperkenalkan beberapa pembaharuan penting, termasuk pelaksanaan hukuman restoratif, mekanisme pengkompaunan kesalahan serta peningkatan kadar hukuman bagi kesalahan tertentu.
Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara pembaharuan utama menerusi RUU berkenaan ialah penambahbaikan pelaksanaan hukuman restoratif melalui penetapan tempoh khidmat komuniti yang perlu disempurnakan sepenuhnya dalam masa satu tahun.
Beliau berkata, RUU itu turut memperuntukkan kuasa kepada Sultan Kelantan untuk menetapkan jenis kesalahan boleh dikompaun, prosedur pelaksanaan serta borang berkaitan melalui perintah disiarkan dalam warta.
“Peningkatan kadar hukuman pula memberi penekanan kepada hukuman sebatan bagi kesalahan berat seperti cubaan keluar Islam, mengabaikan akidah anak, kewajipan menjaga alat kemaluan dan anggota badan, meminum minuman memabukkan, berjudi, persetubuhan luar nikah serta hamil luar nikah,” katanya kepada BERNAMA.
Menurut beliau, RUU tersebut turut memperkenalkan enam fasal baharu, iaitu mengabaikan atau meninggalkan solat fardu (Fasal 10), kewajipan menjaga alat kemaluan (Fasal 15), kewajipan menjaga anggota badan selain alat kemaluan (Fasal 16), kewajipan menjaga akal daripada perkara yang merosakkan (Fasal 33), pengkompaunan kesalahan syariah (Fasal 59) serta kuasa mengkompaun bagi pihak berkuasa berkaitan (Fasal 60).
Mohamed Fadzli berkata, beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Negeri Kelantan 2019 turut dibatalkan dan digubal semula bagi memperkemas aspek perundangan.
Katanya, Seksyen 11 EKJS 2019 berkaitan kesalahan memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat telah ditambah baik di bawah Fasal 12 RUU Kesalahan Syariah 2026 yang memperuntukkan kesalahan mengganggu tempat ibadah orang Islam.
Selain itu, Seksyen 14 EKJS 2019 berkaitan kesalahan liwat turut dibatalkan dan kandungannya diperincikan semula menerusi Fasal 15 dan Fasal 16 yang menyentuh kewajipan menjaga alat kemaluan serta menjaga anggota badan selain alat kemaluan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang diluluskan DUN itu mengandungi sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual.
Penggubalannya bertujuan memperkemas dan memperkukuh susunan peruntukan sedia ada supaya lebih sistematik, jelas dan berwibawa, selain memasukkan beberapa pembaharuan termasuk kewajipan solat fardu, penjagaan alat kemaluan dan anggota badan, penjagaan akal, hukuman restoratif, pengutamaan hukuman sebatan serta mekanisme pengkompaunan kesalahan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
