BUTTERWORTH – Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan tonggak pertahanan Pulau Pinang era 80-an Dzulkifli Ali meninggal dunia semalam, pada usia 65 tahun.
Anak ketiga Allahyarham, Nor Amylia, 32, berkata, bapanya meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah hari di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini, selepas menerima rawatan sejak tiga hari lalu akibat komplikasi jantung dan usus.
Beliau berkata, bapanya telah beberapa kali dimasukkan ke wad sebelum ini akibat masalah jantung yang dihidapinya kira-kira dua tahun lalu, selain penyakit usus hampir setahun kebelakangan ini.
“Abah nampak semakin lemah, kami pujuk dia pergi hospital, tetapi pada awalnya abah kata dia mahu pergi pada Rabu (hari ini), kami pujuk juga dan akhirnya bawa dia ke hospital pada awal pagi Ahad,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal selepas solat Asar di sini, semalam.
Nor Amylia berkata, kesihatan bapanya kian merosot dan Allahyarham terpaksa ditidurkan sekitar tengah malam Selasa kerana tahap oksigen yang semakin rendah.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Pulau Pinang, Mahathir Mohd Jamal Mohd berkata, pemergian Dzulkifli merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat dan seluruh komuniti bola sepak di negeri ini.
“Sebagai seorang ahli persatuan, Allahyarham sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar bekas pemain bola sepak Pulau Pinang. Segala jasa, sumbangan dan kenangan Allahyarham dalam dunia bola sepak akan sentiasa kami hargai dan kenang,” katanya.
Dzulkifli atau Zulkifli diingati sebagai pemain pertahanan kental dan mempunyai corak permainan agresif serta mampu beraksi di posisi bek kanan atau pertahanan tengah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Allahyarham juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang berdepan beberapa bintang bola sepak dunia termasuk legenda England, Kevin Keegan pada 1984.
Selepas bersara, Allahyarham terus aktif dalam arena bola sepak dan sering menyertai perlawanan persahabatan serta kejohanan veteran kebangsaan bersama bekas rakan sepasukannya.
Dzulkifli meninggalkan seorang balu dan enam orang anak, manakala seorang lagi anaknya meninggal dunia pada 30 Jun tahun lalu. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
