PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan polis Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu seberat 166 kilogram bernilai lebih RM8 juta dalam satu operasi di Hua Hin, Wilayah Prachuap Khiri Khan, Sabtu lalu.
Suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas bertindak mencurigakan dengan cuba mengelak sekatan jalan raya pihak berkuasa, sebelum diberkas selepas mengejarnya sejauh beberapa kilometer.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, operasi tersebut dijalankan susulan maklumat risikan diterima mengenai sebuah kenderaan dipercayai membawa sejumlah besar dadah dari Bangkok ke selatan Thailand.
Menurutnya, hasil pemantauan membawa kepada pengesanan sebuah kereta mewah BMW berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran Bangkok dan dipercayai digunakan untuk mengangkut bahan terlarang itu.
“Anggota polis mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan selepas menerima maklumat kenderaan berkenaan membawa dadah.
“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan cuba mengelak daripada melalui sekatan jalan raya sebelum memecut meninggalkan lokasi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, polis kemudian mengejarnya sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan itu di luar sebuah kedai serbaneka berhampiran Hua Hin Grand kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Pemeriksaan awal mendapati beberapa beg pakaian berada di dalam ruang simpanan kenderaan berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Namun, ketika disoal siasat, suspek mendakwa semua beg pakaian tersebut bukan miliknya dan mendakwa tidak mengetahui kandungan di dalamnya.
Menurut jurucakap itu, suspek turut memaklumkan dia tidak mengetahui kombinasi nombor bagi membuka beg pakaian berkenaan.
“Suspek kemudian dibawa semula ke lokasi sekatan jalan raya sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan dengan persetujuannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa beg pakaian itu mengandungi methamphetamine kristal dengan jumlah keseluruhan seberat 166 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM8 juta berdasarkan harga pasaran semasa, manakala kereta BMW yang digunakan turut disita bagi membantu siasatan.
Siasatan awal polis Thailand mendapati rampasan tersebut mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai menggunakan Hua Hin sebagai lokasi transit sebelum bekalan dibawa ke beberapa destinasi di selatan negara itu.
Menurut jurucakap berkenaan, siasatan mendapati dadah tersebut bukan bertujuan untuk diedarkan di Hua Hin, sebaliknya dipercayai sedang dalam perjalanan ke Hat Yai dan tiga wilayah lain di selatan Thailand.
Beliau berkata, polis percaya penghantaran itu diatur oleh seorang warga China yang berpangkalan di Bangkok dan disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.
“Individu berkenaan dipercayai mengarahkan kurier menghantar bekalan dadah ke lokasi yang telah ditetapkan sebelum diserahkan kepada rangkaian pengedaran di selatan Thailand.
“Bagaimanapun, identiti individu terbabit masih dalam siasatan dan polis sedang mengesan suspek lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket ini,” katanya.
Pihak berkuasa Thailand kini sedang menyiasat sama ada suspek warga Malaysia itu bertindak sebagai kurier yang diupah atau mempunyai peranan lebih besar dalam rangkaian penyeludupan dadah berkenaan.
Selain mengesan dalang utama sindiket, polis turut meneliti laluan penyeludupan yang digunakan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta individu lain yang dipercayai terlibat dalam operasi membawa dadah dari Bangkok ke selatan Thailand.
Kes tersebut kini disiasat mengikut undang-undang narkotik Thailand dan suspek dijangka didakwa sebaik siasatan selesai.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
