Eastcoast Rallying & X-One Motorsports Bergabung Buru Kejuaraan Rali Melaka 2026

MEMBUKA tirai kalendar perlumbaan rali tanah air musim ini, pasukan rali berpangkalan dari Pantai Timur, Eastcoast Rallying menjalinkan kerjasama strategik bersama X-One Motorsports bagi memburu kejuaraan sulung untuk berentap di Rali Melaka – Milleenium Iconic Rally 2026 pada Sabtu ini di Alor Gajah, Melaka.

Kerjasama strategik ini dilihat mampu memberi impak positif dalam arena sukan permotoran rali tempatan yang masih menagih jumlah penyertaan dari pasukan-pasukan kompetitif untuk berentap memberi cabaran bagi setiap yang bertanding.

Ketua pasukan Eastcoast Rallying, Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki melihat kerjasama strategik ini tidak hanya untuk hadir memberi sokongan kepada penganjur, malah memberi tambah nilai bagi pasukan untuk terus berdaya saing sama ada di arena perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa.

“X-One Motorsports adalah pasukan rali tempatan yang mempunyai pengalaman besar dalam perlumbaan rali tempatan mahupun antarabangsa. Pertukaran teknologi dan kepakaran di antara dua pasukan untuk memburu kejuaraan ini memberi tambah nilai buat masing-masing walaupun beraksi dalam satu pasukan.

“Untuk perlumbaan pertama musim ini, kita boleh lihat jumlah penyertaan bagi kategori pacuan 4 roda (4WD) di Melaka nanti semakin bertambah berbanding musim lalu.

“Ianya akan menambah cabaran buat setiap pasukan bertanding. Jalinan kerjasama ini tepat pada masanya untuk perlumbaan yang dijangka lebih sengit nanti,” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang memulakan karier sebagai pelumba rali sejak 2017.

Bagi Roduwan Rashid yang hadir dengan reputasi tersendiri selaku dua kali juara rali kebangsaan melihat peluang ini tidak seharusnya dilepaskan untuk membuka tirai perlumbaan musim ini.

“Momentum terbaik untuk kami kembali ke litar ‘gravel’ ini setelah terhenti sewaktu pandemik COVID-19 yang lalu dan kami melihat kerjasama di antara dua pasukan ini memberi peluang sama rata untuk sama-sama memburu kejuaraan nanti,” jelasnya yang juga ketua pasukan X-One Motorsports yang telah mewarnai arena perlumbaan rali tempatan mahupun antarabangsa sejak 2009.

Sebanyak 22 pasukan pasukan telah mengesahkan penyertaan untuk berentap di Felda Tun Ghafar, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu ini bagi dua hari perlumbaan yang dijadualkan melabuhkan tirai pada 28 Jun 2026 ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *