Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mempertahankan kepimpinan dan disiplin parti susulan tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada parti.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Azalina berkata kesetiaan sebenar seseorang ahli tidak diukur ketika diberi peluang menjadi calon atau memegang jawatan, sebaliknya ketika berdepan kekecewaan apabila tidak dipilih.
Menurut beliau, rasa kecewa selepas proses pemilihan calon bukanlah sesuatu yang asing dalam sebuah parti besar seperti UMNO yang mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dan berkelayakan.
Bagaimanapun, katanya, perjuangan politik perlu meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi, selain menuntut setiap ahli terus berpegang kepada prinsip disiplin dan kesetiaan.
“Kesetiaan kepada parti bukan diukur ketika kita dipilih, tetapi apabila kita tidak dipilih. Ketika itulah nilai sebenar perjuangan dan pengorbanan diuji,” katanya.
Kenyataan Azalina hadir selepas Puad mengumumkan keluar daripada UMNO dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan serta mempersoalkan beberapa keputusan yang dibuat di peringkat negeri.
Puad turut mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat atas titah pihak Istana, selain menyifatkan kepimpinan UMNO Johor tidak lagi mempunyai kebebasan menentukan hala tuju parti.
Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan segala keputusan dibuat mengikut lunas Perlembagaan serta proses yang sewajarnya.
Azalina turut mempertahankan proses pemilihan calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menyifatkannya dilaksanakan secara tertib, tenang dan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, parti memerlukan anggota yang sanggup meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan peribadi demi memastikan UMNO terus kukuh menghadapi cabaran politik serta PRN Johor yang semakin hampir.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L