Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros mendakwa tindakan Perikatan Nasional (PN) hanya bertanding di 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan gabungan itu tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan negeri.
Menurut beliau, keputusan PN bertanding dikurang 60 peratus daripada keseluruhan kerusi dipertandingkan memberi isyarat bahawa gabungan tersebut tidak mempunyai laluan yang realistik bagi memperoleh majoriti kerusi.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman calon PN dibuat secara berasingan oleh PAS, BERSATU, MIPP dan WARRIORS di lokasi berbeza walaupun menggunakan logo serta bendera PN.
“Dalam mana-mana pilihan raya, tiada jaminan semua kerusi yang ditandingi akan dimenangi. Apabila hanya bertanding di 33 kerusi, mereka sebenarnya mengehadkan peluang sendiri untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Noor Azleen menggesa rakyat Johor supaya membuat pilihan yang disifatkannya mampu membentuk kerajaan negeri yang mempunyai keinginan, hala tuju dan keyakinan untuk mentadbir.
Beliau berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang bersedia memikul tanggungjawab mentadbir serta menawarkan visi yang jelas demi masa depan negeri itu.
Selain itu, Noor Azleen turut memaklumkan beliau mewakili Pemuda UMNO Johor dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, namun tidak memperincikan kandungan laporan berkenaan dalam hantarannya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L