Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mencadangkan supaya pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian didakwa atas kesalahan bunuh bagi memastikan hukuman lebih setimpal terhadap pesalah.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat, beliau berkata kesalahan berkenaan tidak lagi wajar dikategorikan sebagai kesalahan trafik semata-mata kerana melibatkan kehilangan nyawa akibat kecuaian yang boleh dielakkan.
Menurutnya, setiap tahun terdapat keluarga yang kehilangan insan tersayang dan pencari nafkah akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan pindaan undang-undang supaya kesalahan tersebut boleh didakwa secara mandatori di bawah Kanun Keseksaan.
Dalam perbahasan sama, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar undang-undang berkaitan kegiatan lumba haram diperkukuhkan bagi menutup sebarang kelompangan yang membolehkan pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang, khususnya jika perlumbaan tersebut mengakibatkan kematian.
Beliau berkata hukuman lebih tegas mampu memberi kesan pencegahan selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Selain itu, beliau membangkitkan isu keselamatan data pengguna aplikasi MyJPJ dan meminta kerajaan memastikan maklumat pengguna dilindungi sepenuhnya, termasuk meneliti dakwaan kewujudan syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan insurans kepada pengguna aplikasi berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira status individu atau jenis kenderaan yang dipandu, sama ada melibatkan pemandu kereta mewah mahupun penunggang motosikal.
Beliau berkata pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh penting bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L