KUALA LUMPUR – Keberanian seorang pemandu lori yang mempertaruhkan keselamatan dirinya bagi mengelakkan sebuah bas ekspres daripada terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Perak, menerima pengiktirafan kerajaan menerusi penganugerahan Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000.
Penghargaan yang disalurkan melalui dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Wong Tuck Meng, 40, atas tindakan pantas dan beraninya menyelamatkan 21 penumpang dalam kejadian pada 15 Jun lalu.
Tindakan beliau disifatkan sebagai contoh keberanian luar biasa apabila sanggup mengambil risiko demi keselamatan orang ramai, sekali gus berjaya mengelakkan tragedi yang berpotensi meragut banyak nyawa.
Menurut kronologi kejadian, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan ketika menuruni bukit berhampiran Terowong Menora.
Dalam situasi cemas itu, Tuck Meng bertindak tenang dengan membenarkan bas berkenaan merapati bahagian belakang lorinya bagi mengurangkan momentum selepas kenderaan tersebut merempuh lorinya.
Beliau kemudian menggunakan kemahiran pemanduan dan kawalan kenderaan dengan merapatkan lori ke arah rel penghadang jalan, sekali gus membantu memperlahankan serta memberhentikan bas berkenaan dengan selamat tanpa terbabas.
Mengulas tindakannya, Tuck Meng berkata beliau hanya memikirkan cara terbaik untuk mengelakkan kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Saya hanya terfikir supaya kemalangan yang menyebabkan kematian dapat dielakkan. Jarak bas ketika itu masih agak jauh, jadi saya sempat membunyikan hon untuk memberi amaran kepada kenderaan di hadapan supaya menyelamatkan diri,” katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuck Meng atas keberanian yang ditunjukkannya dalam insiden berkenaan.
Penghargaan tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Dewan Rakyat menyifatkan Tuck Meng sebagai “wira negara” kerana tindakan pantasnya berjaya mengelakkan tragedi besar serta membuktikan masih wujud individu yang sanggup mengutamakan keselamatan awam walaupun berdepan risiko terhadap diri sendiri.
Sebelum ini, rakaman video kejadian yang memaparkan tindakan berani Tuck Meng tular di media sosial dan menerima pujian meluas daripada orang ramai.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L