PUTRAJAYA – Seramai 30,488 pelajar baharu mendaftar di politeknik di seluruh negara bagi sesi 1 2026/2027, semalam yang merekodkan pencapaian melebihi 125 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pendaftaran politeknik mencatat maklum balas menggalakkan yang memberikan petunjuk keyakinan masyarakat terhadap sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin meningkat.
“Setakat semalam, ketika pendaftaran ditutup pada jam 5 petang, seramai 30,488 pelajar baharu politeknik mendaftar di seluruh negara dan kita dapati, ia merupakan satu pencapaian sangat membanggakan melebihi 125 peratus.
“Ya, bukan hanya 100 peratus kerana kebiasaannya apabila satu jumlah ditawarkan, ia bergantung pada maklum balas daripada mereka, tetapi kali ini, kita dapati respons sangat menggalakkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, proses pendaftaran pelajar baharu politeknik untuk sesi 1 2026/2027 itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan begitu baik daripada ibu bapa.
Berikutan peningkatan mendadak itu, Zambry berkata, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dimaklumkan untuk mengambil langkah segera berkaitan penempatan dan hal berkaitan.
“(Pendaftaran) melepasi 30,000 orang semuanya, secara tidak langsung ia juga memberikan sedikit sebanyak kesulitan kepada pelajar kita yang datang mendaftar.
“Hal ini termasuklah dalam soal penyediaan tempat tinggal mereka dan saya telah pun maklumkan dengan Ketua Pengarah supaya langkah-langkah segera diambil bagi membantu pelajar untuk mendapat penempatan yang selesa,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan sedang berusaha untuk menambah bilangan kursus pada peringkat ijazah di politeknik.
“Baru-baru ini, kita mengumumkan sebanyak lima politeknik dinaik taraf bagi menawarkan program peringkat ijazah dan kita harap program bidang teknikal ini akan mendapat sambutan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, sebanyak 102 kolej komuniti sedang melaksanakan proses pendaftaran pelajar baharu bagi tempoh 22 hingga 25 Jun ini. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L