Dakwaan MCA dapat tekanan keluar BN dicipta kalangan tertentu - Zambry

Kemasukan UA Telus dan Berasaskan Merit, Dakwaan Perlu Disokong Bukti – Dr Zambry

KUALA LUMPUR – Sistem kemasukan ke universiti awam (UA) di Malaysia dilaksanakan menerusi mekanisme yang jelas, telus serta berpaksikan prinsip merit dan syarat kelayakan yang ditetapkan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi awam sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi diberikan secara adil kepada semua calon yang memenuhi syarat kemasukan.

Menurutnya, dakwaan kononnya antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau melanggar peraturan perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang boleh disahkan.

“Tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian. Dalam dunia akademik, setiap angka yang dikemukakan mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kesahihannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, beberapa universiti awam telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kenyataan yang dikeluarkan berkenaan dakwaan tersebut.

Menurut Zambry, tindakan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara atau menutup ruang kritikan, sebaliknya bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, yang mendakwa terdapat kemasukan pelajar ke universiti awam di luar sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas yang kukuh.

“Kritikan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi dan budaya intelektual yang sihat. Namun, ia mestilah berpaksikan fakta, bukti serta kejujuran intelektual.

“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta, analisis disokong oleh data, manakala tuduhan yang serius perlu disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa individu yang gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang telah dibuat.

Tambah beliau, golongan akademik, khususnya mereka yang pernah terlibat dalam dunia pendidikan tinggi serta memiliki gelaran doktor atau profesor, sewajarnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum.

“Tradisi akademik menuntut setiap pandangan, kritikan dan hujah disandarkan kepada fakta, data serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan. Budaya perbahasan yang beradab, beretika dan membina perlu terus dipelihara, bukannya berasaskan persepsi atau angka yang tidak dapat disahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Zambry menegaskan beliau sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka terhadap pandangan dan kritikan yang dikemukakan kepada KPT serta institusi pendidikan tinggi negara.

“Kita sentiasa bersedia menerima teguran yang konstruktif demi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *