PKR Tegur Wong Chen, Jangan Berada Dalam Dua Perahu – Sivamalar

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, perlu menjelaskan pendirian politiknya dan tidak terus mencetuskan polemik yang boleh mengelirukan penyokong serta pengundi.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, tindakan Wong Chen yang dilihat terlibat dengan gerakan politik alternatif kepada parti yang diwakilinya menimbulkan persoalan mengenai komitmennya terhadap mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tiada siapa dihukum kerana mempunyai kawan atau menghadiri acara awam.

“Namun persoalan sebenar ialah sama ada seseorang wakil rakyat masih komited kepada mandat, perjuangan dan platform politik yang diwakilinya ketika dipilih oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media di laman Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, kemenangan besar Wong Chen di Parlimen Subang atas tiket PKR dan Pakatan Harapan bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya dibina melalui pengorbanan anggota, sukarelawan dan penyokong parti.

“Jangan cuba mencipta persepsi bahawa mandat itu datang daripada populariti peribadi semata-mata. Kemenangan tersebut adalah hasil kerja kolektif seluruh jentera parti,” katanya.

Sivamalar turut menegaskan bahawa isu berkenaan bukan berkaitan kebebasan bersuara atau hak untuk berkawan, sebaliknya melibatkan integriti terhadap mandat rakyat dan kesetiaan kepada perjuangan parti.

“Tidak ada parti politik yang boleh berfungsi dengan baik jika pemimpinnya bebas berkempen untuk platform politik lain sambil terus menikmati kedudukan yang diperoleh melalui parti asal,” tegasnya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Wong Chen menjadi mangsa penganiayaan politik.

“Tiada siapa memaksa beliau menghadiri program parti lain atau mencabar parti sendiri secara terbuka. Semua kontroversi yang berlaku hari ini adalah hasil pilihan politik beliau sendiri,” katanya.

Sivamalar berkata, sekiranya Wong Chen tidak lagi yakin dengan perjuangan PKR, beliau perlu menyatakan pendiriannya secara terbuka.

“Jika benar beliau sudah tidak lagi yakin dengan perjuangan KEADILAN, nyatakanlah secara terus terang. Jangan terus bersandiwara. Seseorang tidak boleh berada dalam dua perahu pada masa yang sama,” katanya.

Beliau menambah, PKR akan terus membuat keputusan berdasarkan prinsip, perlembagaan parti dan kepentingan perjuangan, tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana individu.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *