Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin
NILAI – Kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam kemalangan jalan raya ketika baru memasuki tahun pertama pengajian tidak mematahkan semangat Farah Najwa Arbain, 23, untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya bergelar graduan Sarjana Muda Pemasaran (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian di Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sidang keempat semalam.
Tragedi yang berlaku pada 4 Februari 2023 itu bukan sahaja meragut kedua-dua ibu bapanya, malah menyebabkan Farah Najwa yang merupakan anak sulung daripada enam beradik mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk dan tangan sehingga memerlukan pembedahan serta berehat lebih sebulan.
Dalam tempoh pemulihan, cabaran paling besar yang dihadapinya bukan sekadar kecederaan fizikal, tetapi kekosongan emosi dan kesunyian selepas kehilangan insan yang menjadi tempat bergantung dalam keluarga.
“Pada awalnya saya tidak merasa sedih tetapi lebih kepada rasa kosong dan marah dengan diri sendiri, lebih-lebih lagi tinggal bersendirian di rumah keluarga, perasaan sunyi itu benar-benar mencengkam, terutama pada waktu malam yang sering mengundang pelbagai ingatan serta emosi yang sukar digambarkan,” katanya.
Namun, pesanan terakhir arwah bapanya pada malam sebelum kejadian supaya menjaga adik-adiknya menjadi kekuatan buat Farah Najwa untuk bangkit meneruskan kehidupan dan pengajian demi lima adiknya yang masih kecil.
“Arwah abah berpesan supaya tolong tengokkan dan jaga adik-adik, dan sebagai anak sulung saya sedar jika saya yang rebah dan berputus asa, bagaimana dengan adik-adik yang lain, terutamanya yang masih kecil,” katanya.
Selain kekuatan daripada keluarga, sokongan pensyarah, pihak pengurusan universiti serta sahabat karibnya, Siti Ilya Fahdafina, menjadi antara faktor penting yang membantu Farah Najwa kembali membina keyakinan diri dan memperbaiki prestasi akademiknya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Alhamdulillah, cabaran itu dapat diharungi kerana kehadiran seorang sahabat, Ilya, yang memberi sokongan penuh ketika saya tiada sesiapa di sini, mengajar saya memandu serta setia belajar bersama-sama sehingga gred saya semakin meningkat dan berjaya ke pentas konvokesyen,” katanya.
Bagi Farah Najwa, walaupun beliau tidak lagi dapat menerima doa ibunya secara langsung, doa serta sokongan pensyarah, keluarga dan insan di sekeliling menjadi antara asbab yang membantunya meneruskan perjalanan sehingga berjaya menamatkan pengajian.

Kini, segala jerih payah tersebut membuka lembaran baharu apabila beliau menerima tawaran untuk meneruskan tugas di tempat latihan industri selepas tamat konvokesyen, selain berhasrat meneroka peluang kerjaya lebih luas dalam bidang pemasaran dan perkhidmatan kewangan.
Kisah Farah Najwa membuktikan bahawa kehilangan dan ujian berat tidak semestinya menjadi noktah kepada sebuah perjuangan, sebaliknya dengan kekuatan diri, sokongan insan sekeliling dan keazaman untuk meneruskan amanah keluarga, impian untuk menggenggam segulung ijazah tetap mampu direalisasikan.
Majlis Konvokesyen ke-24 USIM berlangsung pada 3 hingga 6 November ini meraikan 3,363 graduan. Hadir bersama meraikan kejayaan beliau ialah keluarga mak saudara yang menjaga beliau serta adik beradiknya dan keluarga sahabat baiknya Ilya Fahdafina.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
