Oleh Siti Khadijah Manudin
KUCHING – Sebuah parti politik yang berpangkalan di Sarawak memaklumkan penggunaan nama “Wawasan” oleh parti baharu yang diasaskan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkemungkinan menimbulkan pertindihan kerana nama tersebut telah dipohon lebih awal oleh mereka.
Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Affendi Jeman berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada April lalu untuk menukar nama parti itu kepada Parti Wawasan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta RoS meneliti perkara berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Kenyataan itu dibuat susulan pelancaran Parti Wawasan Negara oleh Hamzah pada Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, Sabtu lalu.
Hamzah dilaporkan berkata nama parti tersebut dicadangkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Affendi berkata walaupun nama penuh kedua-dua parti berbeza, penggunaan perkataan “Wawasan” sebagai identiti utama boleh menimbulkan kekeliruan, khususnya dalam urusan pendaftaran dan pengenalan parti di peringkat nasional.
Beliau turut berharap RoS dapat membuat keputusan yang adil berdasarkan rekod permohonan yang diterima serta memastikan tiada pertindihan nama yang boleh menjejaskan perjalanan mana-mana parti politik pada masa depan.
Sebelum ini, Hamzah mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara sebagai wadah politik baharu dan memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan sulung dalam masa terdekat.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L