Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Penubuhan Parti Wawasan Negara yang diterajui bekas Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, dilihat berpotensi mengubah landskap politik pembangkang negara serta memberi kesan langsung terhadap strategi Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengembalikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Ahmad Samsuri Mokhtar selepas tempoh singkat perkhidmatan dianggap sebagai petunjuk jelas bahawa PAS masih melihat Hamzah sebagai aset penting dalam strategi politik pembangkang.
Parti baharu itu dikatakan mendapat sokongan kira-kira 18 Ahli Parlimen yang sealiran dengan Hamzah, sekali gus menjadikannya antara kuasa politik yang berpotensi memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama pembangkang pada masa akan datang.
Kedudukan Hamzah sendiri tidak menimbulkan masalah dari sudut undang-undang kerana beliau telah dipecat daripada Bersatu sebelum di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Namun, situasi berbeza membabitkan Ahli Parlimen lain yang masih memegang keahlian parti asal masing-masing.
Sekiranya mereka bertindak keluar parti secara sukarela untuk menyertai Parti Wawasan Negara, kerusi Parlimen mereka berisiko dikosongkan dan membuka laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Terdapat kemungkinan kumpulan berkenaan memilih pendekatan lebih berhati-hati dengan mengekalkan keahlian parti asal, namun bergerak secara politik di bawah kepimpinan Hamzah tanpa membuat perpindahan rasmi.
Langkah sedemikian dilihat mampu mengelakkan risiko kehilangan kerusi Parlimen, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.
Pada masa sama, sebarang tindakan disiplin atau pemecatan oleh parti asal juga boleh mengubah politik secara drastik kerana Perkara 49A memberi pengecualian kepada wakil rakyat yang dipecat daripada parti.
Apa yang pasti, kemunculan Parti Wawasan Negara kini bukan sekadar menguji kekuatan blok pembangkang, malah bakal menjadi ujian terbesar terhadap pelaksanaan Akta Anti-Lompat Parti
Buat masa ini, persoalan terbesar bukan sama ada 18 Ahli Parlimen itu menyokong Hamzah, tetapi sama ada mereka sanggup mengambil risiko kehilangan mandat yang diberikan oleh pengundi.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L