Oleh: Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman

ISU Rukun Negara dan patriotisme khususnya dalam kalangan belia di Malaysia sangat penting dibincangkan dalam konteks pembinaan negara bangsa, khususnya dalam era globalisasi dan digital ini.
Rukun Negara berperanan membentuk jatidiri bangsa untuk menjamin kesejahteraan generasi akan datang. Ideologi ini sangat jelas motifnya, namun sehingga kini belum dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Rukun Negara merupakan asas ideologi kebangsaan negara kita yang diperkenalkan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dengan tujuan utama untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Kandungannya meliputi lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Rukun Negara bertujuan mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, memelihara cara hidup demokratik serta mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.
Disamping itu, membentuk sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan selain membina masyarakat progresif dan berdaya saing bagi memajukan negara ini
Perlu ditegaskan di sini bahawa Rukun Negara bukan sekadar lafaz, tetapi menjadi panduan nilai dalam amalan kehidupan seharian semua rakyat Malaysia.
Prinsip-prinsip ini berfungsi sebagai panduan dalam membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni, adil dan progresif.
Walau bagaimanapun, apabila diteliti secara mendalam terhadap realiti semasa, penulis mendapati penghayatan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia terhadap Rukun Negara masih berada pada tahap yang sederhana dan memerlukan penambahbaikan yang berterusan.
Belia dan Tahap Patriotisme
Patriotisme dalam kalangan belia merujuk kepada semangat cinta, setia, dan tanggungjawab generasi muda terhadap negara. Secara lebih khusus, amalan patriotisme belia termasuk menghormati simbol negara (bendera, lagu kebangsaan), memahami sejarah negara, menjaga perpaduan kaum, menyumbang kepada pembangunan negara, di samping mematuhi undang-undang negara.

Tokoh seperti Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menjadi contoh penting dalam membentuk kesedaran sejarah dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat.
Namun, terdapat beberapa cabaran yang mempengaruhi tahap patriotisme belia hari ini, termasuk pengaruh globalisasi tanpa sempadan, perkembangan teknologi digital, serta kecenderungan terhadap budaya luar yang semakin meluas.
Selain itu, kurangnya minat terhadap sejarah dan nilai kenegaraan turut menyumbang kepada kelemahan penghayatan patriotisme. Ramai belia dilihat lebih terdedah kepada maklumat di media sosial yang tidak semestinya tepat, sekali gus boleh mempengaruhi persepsi mereka terhadap negara.
Polarisasi sosial dan perbezaan pandangan politik juga boleh memberi kesan kepada perpaduan jika tidak ditangani dengan bijak.
Dalam konteks ini, semangat patriotisme bukan sahaja perlu dipupuk melalui pendidikan formal, tetapi juga melalui pengalaman langsung seperti penglibatan dalam aktiviti komuniti dan program kenegaraan.
Analisis penulis dalam buku Rukun Negara dan Pancasila: Ideologi dan Amalan (2022) menunjukkan bahawa aspek-aspek yang berkaitan dengan Rukun Negara yang berkaitan dalam meningkatkan patriotisme serta toleransi kaum belum lagi mencapai tahap yang memuaskan.
Sebahagiannya pula masih berada di tahap yang sederhana sedangkan Malaysia telah merdeka sejak 1957 dan seharusnya telah dihayati oleh rakyat negara ini tentang pentingnya aspek-aspek dalam Rukun Negara dihayati bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang patriotik serta mempunyai toleransi kaum yang tinggi.
Hasil analisis tersebut turut menunjukkan belia pelbagai etnik masih lagi belum mempunyai pengetahuan dan amalan tentang ciri-ciri Rukun Negara sama ada yang berkaitan dengan khususnya tentang raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Institusi Rukun Negara
Bagi mengatasi masalah ini, cadangan bahawa Rukun Negara perlu diperluaskan peranannya dalam proses pembelajaran sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti serta dalam pembelajaran konteks masyarakat.
Rukun Negara tidak hanya meletakkan di papan-papan tanda dan juga di belakang buku pelajar-pelajar sekolah kerana ianya kurang memberi makna kepada penghayatan Rukun Negara.
Mengambil contoh mengenai negara jiran Indonesia yang mewujudkan Institut Pancasila dan menjadikannya sebagai subjek di peringkat sekolah dan pengkhususan di peringkat universiti telah membina dan mengukuhkan penghayatan masyarakat mereka terhadap Pancasila.
Maka, wajar kaedah ini dijadikan model untuk memperkasakan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Hal ini kerana penghayatan terhadap Pancasila sangat tinggi dalam kalangan rakyat dan belia di Indonesia dan boleh dijadikan contoh dan ikutan belia di negara ini.
Ianya sudah pasti mampu untuk meningkatkan patriotisme dan kalangan masyarakat khususnya belia pelbagai etnik di Malaysia.
Sehubungan itu, usaha bersepadu perlu dilaksanakan bagi memperkukuh penghayatan Rukun Negara dan patriotisme dalam kalangan belia.
Antaranya termasuk memperkasa pendidikan berteraskan nilai, memperbanyakkan program kesedaran seperti sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, serta memanfaatkan platform digital untuk menyebarkan mesej kenegaraan yang lebih menarik dan relevan. Selain itu, perlu sentiasa dihangatkan dalam wacana-wacana awam supaya ia kekal relevan sepanjang masa.
Pada 3 Jun lepas bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Penulis telah dijemput ke sesi bual bicara bedah buku bertajuk “Rukun Negara dan Pancasila; Ideologi dan Amalan.”
Dalam sesi tersebut, penulis menekankan betapa pentingnya Rukun Negara yang perlu diperkukuhkan demi menjaga dan memelihara perpaduan rakyat negara ini.
Selagi perpaduan dan ketenteraman kekal menjadi wadah jatiditi nasional, selagi itulah Rukun Negara akan terus relevan bagi generasi akan datang di Malaysia.
Dapat dirumuskan bahawa, Rukun Negara adalah teras perpaduan negara, manakala patriotisme belia merupakan pemacu masa depan Malaysia. Cabaran semasa memerlukan pendekatan yang lebih kreatif dan relevan untuk memastikan generasi muda bukan sahaja memahami, tetapi menghayati nilai-nilai kebangsaan dalam kehidupan bagi melahirkan generasi pelapis masa depan negara yang bertanggungjawab serta berjiwa nasional.
Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman ialah Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L