Kerusi PRN Johor: Amanah pastikan tiada pertembungan dengan BN - Mahfuz

Mahfuz Persoal Pendirian UMNO Johor Terhadap DAP Di Sebalik Kerjasama Kerajaan Perpaduan

Oleh Siti Khadijah Manudin

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian UMNO Johor yang menolak kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Mahfuz berkata, kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan DAP tidak akan berada dalam kerajaan negeri Johor pimpinan BN mencerminkan pendekatan politik lama yang masih berasaskan sentimen dan ketakutan.

Menurut beliau, orang ramai semakin keliru apabila pemimpin UMNO dilihat mengamalkan pendekatan berbeza antara Putrajaya dan Johor.

“Jika begitu sukar untuk duduk semeja dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin UMNO terus bersama DAP dalam Kabinet Persekutuan setiap minggu?” soalnya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata, keadaan itu menunjukkan percanggahan yang sukar difahami rakyat, apabila kerajaan di peringkat pusat menekankan kestabilan dan perpaduan, namun pada masa sama terdapat pemimpin negeri yang membawa naratif berbeza terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mendakwa, tekanan dalaman untuk kembali kepada politik berasaskan sentimen lama mungkin menjadi antara faktor di sebalik pendirian tersebut, dalam usaha meraih semula sokongan pengundi Melayu.

Menurut Mahfuz, pengundi khususnya golongan muda kini lebih memberi perhatian kepada isu pekerjaan, perumahan mampu milik, pendidikan, pelaburan dan kos sara hidup berbanding polemik politik.

Beliau berkata, Johor mempunyai potensi besar dalam sektor teknologi, kecerdasan buatan (AI), logistik dan ekonomi digital yang memerlukan politik lebih matang dan berpandangan ke hadapan.

Sebelum ini, Onn Hafiz menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau malah menyatakan lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dengan DAP, sambil menegaskan landskap politik Johor berbeza daripada situasi di peringkat Persekutuan.

Mahfuz menyifatkan PRN Johor sebagai medan pertarungan antara politik masa depan dan politik lama yang masih bergantung kepada sentimen serta ketakutan sebagai modal politik.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *