Oleh Siti Khadijah Manudin
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor meneruskan pelaksanaan program Bantuan Bakul Kasih Johor (BKJ) dengan peruntukan melebihi RM30 juta bagi membantu lebih 550,000 keluarga di seluruh 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyampaikan bantuan Bakul Kasih Johor kepada masyarakat sempena Sambutan Hari Ibu Bapa di Johor Jaya yang berlangsung dalam suasana harmoni.
Selain itu, bantuan yang sama turut disampaikan kepada beberapa keluarga yang memerlukan ketika majlis perasmian Dewan Kuil Sri Maha Muniswarar di Desa Cemerlang, Ulu Tiram.
Menurut beliau, pelaksanaan BKJ merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat Johor yang tercicir daripada menerima bantuan dan sokongan sewajarnya.
“Bantuan ini memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal serta keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang dapat menjamin kehidupan yang lebih sejahtera, inklusif dan makmur untuk Bangsa Johor.
Beliau berharap usaha tersebut akan terus memberikan manfaat yang berpanjangan kepada seluruh rakyat Johor pada masa akan datang.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L