KUALA LUMPUR – Seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian walaupun jumlah berkenaan lebih rendah berbanding awal tahun ini.
Ketika taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Akmal berkata, jumlah kehilangan pekerjaan pada April masih lebih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari, namun peningkatan bulan ke bulan memerlukan pemantauan rapi.
“Walaupun angka ini lebih rendah berbanding awal tahun ini iaitu 10,658 pada Januari dan 7,512 pada Februari, perkembangan ini perlu diberi perhatian.
“Setiap angka mewakili sebuah keluarga yang kehilangan sumber pendapatan. Kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berfungsi pantas bagi membantu mereka,” katanya.
Kerajaan pastikan bantuan
Beliau berkata, kerajaan kekal komited memastikan pekerja yang kehilangan pekerjaan menerima bantuan sewajarnya menerusi mekanisme insurans pekerjaan, termasuk bantuan kewangan dan khidmat penempatan pekerjaan sementara mereka mencari pekerjaan baharu.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran Malaysia menurun kepada 2.9 peratus menerusi semakan pasaran buruh negara.
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 70.9 peratus.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) yang memetik data PERKESO, Selangor dan Kuala Lumpur terus merekodkan jumlah tertinggi kehilangan pekerjaan pada Mac.
HLIB berkata, Selangor menyumbang 29.3 peratus daripada keseluruhan kes kehilangan pekerjaan, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 25.6 peratus, walaupun kadar pengangguran nasional kekal stabil. – BERITA HARIAN
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001