Ops Gunung Batu Putih ditangguhkan

TAPAH – Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini dipercayai tersasar daripada laluan asal pendakian sebelum terputus hubungan sejak kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad, berkata mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dipercayai tersasar ketika turun dari puncak Gunung Batu Putih setinggi 2,132 meter selepas mendaki seorang diri ke puncaknya.

Beliau berkata lokasi terakhir mangsa dikenal pasti di puncak gunung itu pada kira-kira 9 pagi semalam selepas wanita terbabit berkomunikasi dengan seorang malim gunung perhutanan (MGP) pada 7.30 pagi.

“Mangsa dipercayai meninggalkan tanda di puncak sebelum terputus hubungan dan berdasarkan maklumat yang diterima, kemungkinan beliau tersasar daripada trek asal.

“Sepatutnya laluan turun akan keluar di Kuala Woh, namun kita percaya mangsa mungkin tersasar di sekitar Gunung Rayu ataupun Pos Musoh,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah semalam.

Sabarozi berkata operasi pencarian ditangguhkan 6 petang semalam dan akan diteruskan 8 pagi ini dengan menumpukan kawasan di sekitar Gunung Rayu serta bantuan pesawat Agusta 139 dari Pangkalan Udara Bertam bagi membawa tambahan 12 hingga 16 anggota penyelamat ke kawasan pencarian.

Mengulas lanjut beliau berkata pasukan penyelamat yang menjejaki laluan mangsa turut menemukan kesan tapak kasut dipercayai milik wanita itu di kawasan yang bukan laluan utama pendakian.

“Kebetulan kelmarin hujan dan semalam cuaca panas, jadi jejak kasut itu masih kelihatan. Jejak berkenaan bukan di laluan utama dan dipercayai laluan itu tidak digunakan pendaki lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi SAR berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran komunikasi di kawasan gunung, laluan curam serta keadaan cuaca hujan yang menyebabkan trek licin.

Di samping itu, gunung berkenaan adalah antara yang tertinggi dan laluannya agak mencabar serta faktor awan tebal.

Selain JBPM, operasi SAR turut melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan MGP.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua MGP memulakan pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi kelmarin. – BERNAMA

Telegram 

Facebook 

TikTok

Whatsapp 

Iklanadmin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *