KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara semua urusan pertukaran hak milik (THM) kenderaan secara dalam talian bermula hari ini, susulan dakwaan berlaku transaksi tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
Arahan itu melibatkan semua platform digital termasuk portal awam JPJ, kiosk layan diri serta rakan strategik jabatan seperti MyEG dan eAuto Sdn. Bhd.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan segera tersebut diambil selepas pihaknya menerima beberapa aduan rasmi, selain laporan di media sosial berkaitan isu pertukaran hak milik yang didakwa berlaku tanpa kebenaran pemilik asal.
Menurut beliau, JPJ memandang serius perkara berkenaan terutama yang menyentuh aspek keselamatan dan integriti rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem jabatan.
“Sehubungan itu, mulai 25 Mei, semua urusan THM bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat perlu dilakukan secara fizikal di kaunter Pejabat JPJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, bagi kategori persendirian individu, proses urus niaga boleh diselesaikan pada hari sama di semua pejabat dan cawangan JPJ di seluruh negara.
“Bagi kategori persendirian syarikat pula, proses semakan dan kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja selepas dokumen lengkap dikemukakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) melalui penyedia perkhidmatan eAuto masih diteruskan seperti biasa.
Bagaimanapun, urusan tukar hak milik kekal menerusi sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan buat sementara waktu dan semua permohonan perlu dibuat di pejabat JPJ negeri atau cawangan berhampiran.
Aedy Fadly berkata, JPJ komited memperkukuh kawalan serta pengurusan rekod pendaftaran kenderaan bagi memastikan kepentingan pemilik terus terpelihara selain menjamin sistem penyampaian perkhidmatan jabatan kekal berintegriti.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat kenderaan masing-masing dengan JPJ dari semasa ke semasa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L