Tengku Zafrul Zahir Menjunjung Kasih Sultan Selangor, Seru Perkukuh Perpaduan dan Elak Politik Perpecahan

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menzahirkan menjunjung kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan menerima menghadap semalam, serta titah baginda yang menekankan kepentingan perpaduan rakyat demi kestabilan negeri dan negara.

Beliau berkata, titah Sultan Selangor perlu difahami dalam kerangka sebenar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kestabilan Malaysia sejak sekian lama.

Beliau turut merujuk penjelasan Dewan Di-Raja Selangor sebelum ini yang menegaskan titah baginda bukan campur tangan politik, sebaliknya merupakan nasihat serta pandangan institusi diraja demi memastikan keharmonian rakyat dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.

Menurutnya, institusi “titah” dalam tradisi Raja Berperlembagaan bukanlah satu perintah eksekutif, sebaliknya satu peringatan dan panduan berasaskan kebijaksanaan institusi Raja demi kebaikan rakyat keseluruhan.

Tengku Zafrul menegaskan, titah berkenaan wajar dilihat dalam konteks lebih luas iaitu usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, khususnya ketika dunia berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global.

Beliau turut menekankan kekuatan sesuatu negara tidak boleh dibina atas dasar perpecahan, sebaliknya melalui nilai keadilan, ilmu, kestabilan dan kemampuan meraikan kepelbagaian.

Dalam kenyataan itu, beliau juga mengingatkan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, kepentingan mana-mana kaum tidak boleh diperjuangkan dengan meminggirkan kaum lain, sebaliknya perlu berasaskan semangat saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Titah Sultan Selangor turut disifatkan sebagai seruan agar rakyat mengelakkan budaya politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat, selain memperkukuh perpaduan nasional serta kestabilan negeri.

Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu berkenaan sehingga menjejaskan hubungan antara pemimpin dan keharmonian rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia memerlukan pendekatan politik yang matang bagi berdepan cabaran global termasuk isu bekalan dan krisis tenaga, selain memperkukuh keyakinan pelabur dan rakyat.

Beliau menyeru agar rakyat terus berpegang kepada prinsip Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara yang bersatu, harmoni dan stabil.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *