KUALA LUMPUR – PEOPLElogy Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pulsifi bagi memperkukuh transformasi tenaga kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama strategik itu akan direalisasikan melalui integrasi platform GOAL by PEOPLElogy.
Ia menggabungkan rangka kerja transformasi 6D PEOPLElogy dengan platform analitik bakat AI milik Pulsifi bagi membantu organisasi membuat keputusan tenaga kerja secara lebih tepat berasaskan data, termasuk aspek pengambilan, pembangunan, pengekalan serta perancangan penggantian bakat.
Pengarah Urusan dan Pengasas PEOPLElogy, Allen Lee, berkata kerjasama itu bertujuan membantu organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan susulan perkembangan AI yang dijangka menggantikan dan pada masa sama mewujudkan pelbagai pekerjaan baharu.
“Cabaran sebenar bukan sama ada AI akan mengambil alih pekerjaan, tetapi sama ada manusia bersedia mengubah cara bekerja dan belajar serta sejauh mana organisasi mampu memanfaatkan AI secara efektif dalam operasi perniagaan,” katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.
Lee berkata, PEOPLElogy yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Mei tahun lalu sebagai syarikat transformasi tenaga kerja digital tersenarai pertama negara, kekal komited terhadap misi jangka panjang untuk memberi impak kepada 10 juta individu menerusi pembangunan tenaga kerja masa depan.

Katanya, platform AI milik Pulsifi memainkan peranan penting terutama pada peringkat awal pembangunan bakat dengan membantu organisasi mengenal pasti potensi pekerja, membina pelan pembangunan berasaskan data serta memantau kemajuan tenaga kerja secara masa nyata.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Pulsifi, Jay Huang, berkata syarikat itu ditubuhkan kira-kira sembilan tahun lalu dengan matlamat membantu pekerja lebih produktif dalam pekerjaan mereka serta mewujudkan organisasi yang lebih berasaskan kemahiran dan daya saing.
Beliau berkata, AI hanya mampu memberikan keputusan berkualiti sekiranya disokong data yang tepat.
“Kami mengumpul data berkaitan tingkah laku, prestasi dan pengekalan pekerja sejak hampir sedekad lalu. Dengan asas data itu, model AI kami mampu mencapai ketepatan sekitar 90 peratus dalam kebanyakan kes,” katanya.
Huang berkata, pendekatan syarikat bermula dengan menilai kesan AI terhadap pekerjaan dan kemahiran dalam organisasi sebelum mengenal pasti peranan yang boleh disusun semula menerusi penggunaan teknologi itu.
“Platform Pulsifi menggabungkan data yang sebelum ini terpisah seperti profil psikometrik, kemahiran, penilaian pengurus dan maklum balas 360 darjah bagi memberikan gambaran menyeluruh terhadap kesesuaian individu dengan sesuatu peranan.
“Sistem itu turut menganalisis kesesuaian pekerja berdasarkan perubahan peranan dan kemahiran masa depan termasuk aspek budaya organisasi serta kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, permintaan terhadap penyelesaian transformasi tenaga kerja berasaskan AI dijangka terus meningkat seiring percepatan pendigitalan dan fokus syarikat terhadap kesiapsiagaan tenaga kerja masa depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L