KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid mempersoalkan tindakan mendedahkan dokumen yang didakwa minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bertarikh 18 September 2026, sedangkan status penyahklasifikasian dan pihak yang bertanggungjawab masih belum dijelaskan secara terbuka.
Beliau berkata, kemunculan dokumen yang sebelum ini dikatakan sulit untuk tatapan umum menimbulkan persoalan mengenai siapa yang meluluskan perubahan klasifikasi daripada sulit kepada terbuka, termasuk kemungkinan ia didedahkan tanpa kebenaran.
Menurutnya, Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 memperuntukkan kuasa penyahklasifikasian kepada menteri atau pegawai awam yang diberi kuasa, namun kesahihan proses berhubung dokumen berkenaan perlu dipastikan terlebih dahulu.
Rafique berkata, perhatian media ketika ini lebih tertumpu kepada kandungan minit yang didakwa menunjukkan bantahan Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan terhadap cadangan pelaksanaan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, katanya, persoalan lebih besar ialah mengapa dokumen berkenaan muncul pada waktu ini, khususnya selepas Pakatan Harapan (PH) berdepan kekalahan dalam pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beliau tidak menolak kemungkinan masa pendedahan itu sekadar kebetulan, namun menyifatkan terlalu banyak persoalan politik yang timbul daripada perkembangan berkenaan.
“Rakyat jangan terlalu cepat bertepuk tangan. Ada beberapa perkara yang patut ditanya.
“Mengapa dokumen ini muncul sekarang dan mengapa hanya minit bertarikh 18 September 2026 yang mendapat perhatian?” katanya dalam kenyataan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Lebih penting, Rafique turut mempersoalkan mengapa minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-60 pada 8 Disember 2023 dan ke-61 pada 29 Januari 2024 tidak diberikan perhatian yang sama.
Katanya, kedua-dua mesyuarat terdahulu itu juga penting untuk memahami keseluruhan proses pengampunan Najib, termasuk peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjelaskan di Parlimen mengenai penglibatannya membawa perkara berkenaan untuk pertimbangan ketika Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mempengerusikan Lembaga Pengampunan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah sebenarnya yang direkodkan dalam minit mesyuarat terdahulu dan sama ada kandungannya selari dengan penjelasan yang pernah diberikan kepada Parlimen.
Menurutnya, persoalan tersebut wajar dijawab melalui saluran yang sah dengan mengambil kira aspek kerahsiaan serta peruntukan undang-undang berkaitan.
Rafique turut menyindir pihak yang cuba menjadikan pendedahan minit mesyuarat terbaharu itu sebagai bukti bahawa PH bersih daripada sebarang kesalahan dan kerajaan pimpinan Anwar tidak mempunyai apa-apa yang perlu dipersoalkan.
Katanya, ketelusan tidak seharusnya bergantung kepada dokumen tertentu yang hanya menguntungkan pihak atau naratif politik tertentu.
“Kalau satu minit boleh dipersoalkan, mengapa minit yang lain tidak boleh diteliti melalui proses yang sah?
“Kalau benar mahu rakyat tahu perkara sebenar, berikan penjelasan menyeluruh, bukan hanya bahagian terpilih yang sesuai dijadikan tajuk berita,” katanya.
Beliau menegaskan pendedahan dokumen secara terpilih tidak boleh dianggap sebagai bukti ketelusan, sebaliknya kerajaan perlu memberikan penjelasan lengkap mengenai keseluruhan proses yang berkaitan.
“Pendedahan terpilih bukan tanda ketelusan. Kalau berani dan benar, dedahlah rahsia. Jangan pilih sekerat-sekerat untuk menunjukkan pihak tertentu seolah-olah suci,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
