Sekolah bebas terbaik UK bakal buka kampus NLCS di Phuket menjelang 2028

KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan berprestij dari United Kingdom, North London Collegiate School (NLCS) International, bakal meluaskan rangkaiannya dengan membuka kampus baharu di Thailand melalui kerjasama strategik bersama VLC Group.

Perjanjian penubuhan NLCS Phuket berkenaan telah dimeterai bagi membawa model pendidikan sekolah bebas bertaraf tinggi dari UK ke pasaran pendidikan antarabangsa Thailand yang sedang pesat membangun.

Perjanjian bersejarah berkenaan telah dimeterai di Courtyard by Marriott Phuket, Patong Beach Resort, dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan NLCS International, Daniel Lewis, bersama Pengarah Urusan VLC Group merangkap Pengarah Urusan NLCS Phuket, Naruj Chirayus.

Kampus pendidikan berkenaan yang dirancang untuk dibuka pada suku ketiga tahun 2028 bakal menawarkan kemudahan pembelajaran harian dan asrama penuh bertaraf premium yang menempatkan murid dari peringkat Tahun Awal hingga Tahun 13.

Fasiliti yang bakal dibangunkan di daerah kediaman Cherng Talay itu dijangka mampu menampung sekitar 1,000 pelajar pada fasa awal pembukaannya, dengan tawaran pelbagai kemudahan termasuk kolam renang bersaiz 50 meter, dewan sukan, gelanggang tenis tertutup dan padang bola sepak.

Keputusan pembukaan kampus berkenaan adalah selari dengan unjuran yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Kasikorn, di mana sektor perniagaan sekolah antarabangsa Thailand dijangka bakal berkembang sebanyak 9.7 peratus pada tahun 2025.

Selain itu, kajian yang sama turut menganggarkan peningkatan bilangan pelajar antarabangsa sebanyak 8.3 peratus, manakala wilayah Phuket telah dinamakan sebagai antara pasaran wilayah utama yang pesat berkembang di luar ibu kota Bangkok.

Mengulas mengenai keperluan penubuhan institusi ini, Naruj menjelaskan bahawa kewujudan sekolah berkenaan dijangka dapat menampung kelompangan pasaran untuk sebuah sekolah yang memfokuskan kecemerlangan akademik dengan rantaian terus ke UK.

“Bagi kebanyakan keluarga, Phuket sudah menawarkan kualiti hidup yang luar biasa, tetapi terdapat jurang yang jelas dalam pasaran untuk sekolah yang sangat akademik dengan sambungan langsung ke salah satu institusi pendidikan terkemuka di UK,” kata Naruj.

Sementara itu, Lewis turut menegaskan komitmen NLCS International untuk terus menyediakan pendidikan yang meraikan potensi individu serta berupaya memacu hasil akademik cemerlang di dalam sebuah persekitaran pembelajaran yang menggembirakan.

“Kekuatan NLCS terletak pada hubungan yang tulen antara sekolah kami, kualiti dan kedalaman sokongan akademik kami, dan kepercayaan bersama kami bahawa pelajar yang gembira dan yakin berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai hasil yang luar biasa,” jelas Lewis.

Untuk rekod, NLCS yang pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1850 merupakan sekolah perintis yang telah dinamakan sebagai Sekolah Menengah Bebas Terbaik Tahun 2026 dalam naskhah The Sunday Times Parent Power Guide, selain turut mempunyai rangkaian kampus antarabangsa di pelbagai lokasi utama termasuk Dubai, Jeju, dan Singapura.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *