KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa tindakan seorang menteri Persekutuan dalam isu permohonan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak telah mengingkari keputusan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mencemarkan nama baik serta menjatuhkan maruah institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, pendedahan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung perkara yang berlaku dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan sepatutnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan Raja-Raja Melayu, khususnya apabila timbul persoalan mengenai kedudukan dan pelaksanaan keputusan pengampunan diraja.
Menurut Zaid, sekiranya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkenaan boleh diketepikan atau tidak dilaksanakan oleh pihak eksekutif, keadaan sama berpotensi menimbulkan persoalan terhadap kuasa pengampunan Sultan-Sultan di negeri lain.
“Bukankah perkara ini sepatutnya membimbangkan Raja-Raja negeri yang lain? Keputusan Tuanku untuk memberikan pengampunan kepada sesiapa sahaja di negeri masing-masing juga boleh ditolak atau diketepikan oleh DAP pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris di Facebook.
Beliau turut mempersoalkan reaksi UMNO, PAS dan masyarakat Melayu terhadap perkembangan berkenaan, sambil membangkitkan sama ada tindakan mempertahankan institusi diraja hanya terhenti pada laungan kecaman tanpa sebarang tindakan susulan.
Zaid berkata, beliau tidak pernah menyangka akan menyaksikan keadaan yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap Sultan-Sultan Melayu, hanya kira-kira 70 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.
Lebih mengecewakan, katanya, ialah sikap pemimpin Melayu yang dilihat tidak berani mempertahankan pendirian dalam isu yang menyentuh kedudukan dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu.
“Dan saya juga tidak pernah menyangka orang Melayu yang memimpin negara ini akan berkelakuan seperti orang yang tidak berani mempertahankan pendirian mereka,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kenyataan Zaid itu muncul ketika pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan Najib mencetuskan polemik politik dan perdebatan mengenai kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta tanggungjawab anggota lembaga berkenaan.
Isu itu turut mengundang desakan supaya kerajaan memberikan penjelasan mengenai proses penyahklasifikasian dokumen, asas perundangan yang digunakan serta tindakan susulan terhadap keputusan yang diperkenankan dalam prosiding berkenaan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
