KUALA KANGSAR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi di kawasan kejadian kepada polis bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.
Beliau berkata, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) juga sudah tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera susulan kejadian itu.
Menurutnya, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi ini bagi membantu mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.
“Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM turut mengambil langkah menjaga kebajikan serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Katanya, murid yang tidak terbabit dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026, manakala bantuan psikososial sudah diberikan kepada mereka yang memerlukan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau menegaskan KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan sekiranya perkara itu dibuktikan menerusi hasil siasatan.
Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengakui memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak, terutama dalam keadaan yang menyayat hati.
“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa,” katanya.
Fadhlina turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu serta menghormati privasi keluarga mangsa sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
